Monday 1 September 2014

British surrender to Japanese 1942 - Gen. Yamashita and Gen. Percival Dialogue at Ford Factory, Bukit Timah, Singapore / Jepun Menawan Singapura 1942

Pada 4 Disember 1941, ketumbukan tentera Jepun dari 25th Army yang terdiri dari Division ke-5 dan Diivision ke-18 telah belayar meninggalkan Pelabuhan Samah, Pulau Hainan untuk menyerang Malaya. Division ke-5 akan didaratkan di Songkhla dan Pattani, manakala Division ke-18 akan didaratkan di Kota Bharu, Kelantan. Pasukan ini dibantu oleh 3rd Tank Group dengan 79 kereta kebal sederhana berat dan 100 kereta kebal ringan. Selain itu, Jepun juga menghantar pasukan tambahan dan pesawat-pesawat udara dari Saigon, Vietnam. Malayan Command ketika itu dibawah pemerintahan III Indian Corps yang terdiri dari Division ke-9 dan Division ke-11 Indian Infantry, Division ke-8 Australia, Fortress Penang dan Fortress Singapore dengan kekuatan keseluruhan kira-kira 130,000 anggota.

Konvoi ini telah dikesan oleh pesawat peninjau RAAF (Tentera Udara Diraja Australia), dan pada kali keduanya dikesan oleh pesawat peninjau Catalina dari No. 205 Squadron RAF (Tentera Udara Diraja). Pesawat Catalina ini kemudian ditembak jatuh oleh Jepun. Pihak British telah membentuk Force Z yang terdiri dari kapalperang HMS Repulse dan HMS Prince of Wales berserta 4 buah kapal pemusnah HMS Electra, HMS Express, HMS Tenedos dan HMAS Vampire. Malangnya kapal pengangkut pesawat HMS Indomitable tidak dapat menyertai Force Z kerana mengalami kerosakan.

HMS Prince of Wales karam pada 10 Jan 1942

Pada tengah malam 7 Disember 1941, 3 buah kapal Jepun (Awazisan Maru, Ayatosan Maru dan Sakura Maru) telah mula mendaratkan 5,200 tentera di Kota Bharu. Serangan udara dari No. 1 Squadron RAAF dari Pangkalan RAF Kota Bharu berjaya merosakkan kapal-kapal tersebut, tetapi menjelang pagi 8 Disember 1941, Jepun berjaya mendaratkan 3 batalion ke pantai. Pada 31 Januari 1942, seluruh Semenanjung Malaya telah berjaya ditawan oleh Jepun (cuma dalam masa 55 hari sahaja). Pada 7 Februari 1942, Jepun melancarkan serangan ke Singapura dengan mendaratkan 400 tentera di Pulau Ubin dan lagi 2 arah lain - Kranji Line dan Serangoon Line. Pertempuran terakhir adalah di Bukit Chandu, 14 Februari 1942 dimana saki-baki 1,400 tentera British dan Askar Melayu berhadapan kemaraan 18,000 tentera Jepun.




Pada 15 Februari 1942, jam 0930, Gen. Percival telah bermesyuarat dengan lain-lain pegawai British di Fort Canning dan bersetuju untuk menyerah kalah kerana ketiadaan bekalan air dan lain-lain masalah lojistik. Seorang pegawai kanan tentera, pegawai awam dan seorang jurubahasa telah dihantar untuk menemui pegawai Jepun. Mereka kemudian diarahkan untuk membawa Gen. Percival ke Ford Motor Factory di Bukit Timah untuk membincangkan penyerahan tentera British kepada Jepun. Kilang ini telah ditawan oleh tentera Jepun dan dijadikan markas mereka.

Kilang Ford dahulu


Kilang Ford 2014

Ketibaan Percival untuk berunding

Replika meja dan bilik yang digunakan. Meja asal telah diletakkan di muzium perang Australia

Berikut adalah ringkasan dialong antara Yamashita dan Percival (melalui jurubahasa).

Y: Tentera Jepun tidak akan mempertimbangkan apa-apa perkara dan kami hanya mahu British menyerah tanpa syarat. Jika ini tidak dipatuhi, kami akan meneruskan serangan petang ini juga.
P: Bolehkah kamu beri sedikit masa lagi?
Y: Mustahil, perkara utama sekarang kamu lucutkan senjata kesemua tentera British. Kami benarkan hanya 1,000 anggota bersenjata untuk mengawal ketenteraman awam. Perkara kedua, dalam apa jua keadaan kami tidak akan biarkan tentera British mengambil apa-apa tindakan menghalang Tentera Jepun menjalankan tugas.
P: Kami mahu gencatan senjata diadakan bermula 11.30 pm
Y: Itu terlalu lewat, kerana pada jam 11.30 pm kami boleh menempatkan tentera-tentera kami di seluruh Singapura
P: Saya khuatir saya tidak ada cukup masa untuk menyampaikan arahan kepada semua tentera British di Singapura
Y: Jika begitu, baiklah - 11.30 pm
P: Jangan benarkan Tentera Jepun memasuki bandar Singapura sehingga esok
Y: Kenapa tidak kumpulkan semua senjata kamu di lokasi tengah Singapura untuk kami periksa
P: Kenapa tidak benarkan kami lakukan pada esok pagi sahaja?
Y: Perkara ini kita boleh bincangkan kemudian
P: Jika begitu gencatan senjata serta-merta di kawasan bandar, dan dilain-lain kawasan selewat-lewatnya pada 11.30 pm
Y: Untuk membuktikan kejujuran kamu, kami akan menahan seorang pegawai tinggi kamu dan Govenor disini
P: Kami mahu Tentera Jepun kekal berada pada posisi sekarang dan kami akan beri kamu pengesahan esok pagi
Y: Apa? Saya mahu pertempuran dihentikan malam ini juga. Saya ingin ingatkan kamu, semua tentangan dari Tentera British mesti dihentikan menjelang 11.30 malam.
P: Kami akan hentikan tembak-menembak pada jam 10 malam, tapi akan kekal berada dalam posisi kami
Y: Saya setuju untuk hentikan pertempuran pada 10 malam, selepas itu tentera kamu mesti dilucutkan senjata dan saya hanya benarkan 1,000 orang sahaja untuk membawa senjata dan mengawal keamanan. Hal ini sudah jelas, tetapi kamu masih belum setuju untuk menyerah tanpa syarat. Saya mahu dengar dari mulut kamu sendiri!
P: Saya setuju. Tapi saya ada satu permintaan supaya Tentera Jepun melindungi orang awam British - lelaki, wanita dan juga kanak-kanak.

Pada jam 1820, Percival menandatangani dokumen menyerah tanpa syarat.


Selepas Perang.

Jen. Yamashita berkata dia sebenarnya simpati melihat keadaan Jen. Percival pada masa rundingan tersebut. Percival nampak agak tidak bermaya dan keletihan, tetapi dia terpaksa berkeras dan mahukan British segera menyerah tanpa syarat kerana dia khuatir British akan mengetahui pasukannya lebih kecil dengan hanya 30,000 anggota manakala British mempunyai antara 80,000 hingga 130,000 tentera. Yamashita juga bimbang yang pasukannya semakin kekurangan bekalan makanan dan peluru.

Percival kemudiannya dipenjarakan di Changi, sebelum dipindahkan ke Formosa dan Manchuria. Selepas upacara tandatangan penyerahan kalah Jepun diatas kapal USS Missouri, Jen. MacArthur telah menyerahkan pen tersebut kepada Percival. Percival kemudian dibawa ke Filipina untuk upcara yang sama dimana dia akan bertemu kembali dengan Yamashita pada 2 September 1945, tetapi kali ini Jepun pula menyerah kalah kepada Tentera Berikat (Allied Forces). Percival enggan bersalam dengan Yamashita sebagai protes keatas kekejaman tentera Jepun keatas tawanan perang.

Yamashita telah dijatuhkan hukuman gantung pada 23 Feb 1946 di penjara Laguna, 48km ke selatan Manilla. Percival meninggal dunia pada usia 78 tahun di London pada 31 Jan 1966.


Ruang legar



Galeri pameran

Galeri-galeri memaparkan kehidupan pada zaman pendudukan Jepun. Contoh bagaimana anak gadis dipotong rambut pendek dan dipakaikan pakaian lelaki bagi mengelakkan dirogol askar Jepun

Matawang Jepun yang digunakan pada masa itu

Tandas

Pedang pegawai tentera Jepun

Lain-lain galeri


Bersama "Percival dan Yamashita"


Theater untuk dokumentari penakhlukan Jepun keatas Singapura - amat menarik!

Bergambar bersama staff - Mr. Jimmy

Rujukan:

Wikipedia (sebahagian gambar dan info)

http://www.bbc.co.uk/history/ww2peopleswar/stories/79/a4217979.shtml

No comments:

Post a Comment