Sunday 25 January 2015

Assassination of the Inspector General of Police / Pembunuhan KPN

Pada tahun 1969 - 1970 berlaku perebutan kuasa di dalam Parti Komunis Malaya (PKM) menyebabkan berlakunya perpecahan dikalangan mereka. Di dalam perbalahan tersebut, 200 anggota telah dibunuh dan beratus-ratus telah disingkirkan dari PKM. Mereka yang telah disingkir keluar dari induk PKM telah menubuhkan PKM-Revolutionary Faction pada 25 Sep 1970 dengan 150 anggota, dan PKM-Maxist-Leninist pula ditubuhkan pada 1 Ogos 1974 dengan 580 anggota. PKM pula mempunyai kekuatan seramai 730 anggota pada masa itu.


Pembunuhan Ketua Polis Negara

PKM-ML adalah pasukan yang pertama menubuhkan squad bergerak (mobile unit) yang terdiri dari 1st Mobile Squad dengan 8 anggota sukarela dan 5th Mobile Squad terdiri dari 10 sukarelawan yang dipilih dari unit-unit gerakan bawahtanah mereka. Para pemimpin PKM-ML sedar bahawa tekanan yang diberikan oleh gabungan pasukan keselamatan Thai dan Malaysia ke atas mereka di sempadan Malaysia-Thai akan dapat dikurangkan dengan cara menghapuskan para perancang di dalam Thai-Malaya General Border Committee. Memandangkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim adalah ahli Border Committee tersebut, beliau telah menjadi salah satu sasaran utama PKM-ML.

Gambar hiasan - adengan pembunuhan dari filem

Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim

Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim dilahirkan pada 7 Julai 1925 di Yan, Kedah. Setelah lulus Senior Cambridge pada tahun 1940 (Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar), beliau menyertai pasukan Polis dan dilantik menjadi Inspektor pada 17 Oktober 1941. Allahyarham seterusnya menjadi Penolong Penguasa Polis pada 1952, Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang (1960), Pengarah Cawangan Khas (1971) dan dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang ke-3 pada 1 Februari 1973.

Kesemua sukarelawan yang terpilih tadi dilatih secara berasingan di kem-kem PKM-ML di Betong, selatan Thai. Latihan yang dijalani termasuklah penggunaan senjata ringan, grened, latihan fiizikan dan berkebun. Tujuan para sukarelawan ini dihantar membuat kerja-kerja dikebun adalah supaya kulit mereka bertukar menjadi gelap kerana berjemur dibawah panas matahari. Memandangkan kesemua anggota skuad pembunuh ini adalah berkulit cerah dan berbangsa Cina, PKM-ML tidak mahu pembunuhan yang dirancang nanti membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu dan mereka membalas dendam kepada orang-orang Cina pula. Dengan cara "menggelapkan" kulit anggota squad pembunuh, para saksi akan keliru dan menyangka pembunuhan tersebut dilakukan oleh orang-orang Melayu sendiri.

Mereka melakukan tinjauan selama seminggu dengan memerhatikan pergerakan KPN antara rumahnya di Jalan Kia Peng dan Ibupejabat Polis di Kuala Lumpur. Pada jam 7 pagi, 7 Jun 1974, KPN telah diserang semasa dalam perjalanan ke Ibupejabat Polis untuk mengambil dokumen, kerana Allahyarham akan menemui ahli-ahli Thai-Malaya General Border Committee pada mesyuarat yang akan diadakan di Federal Hotel, Kuala Lumpur. Serangan yang dilakukan di persimpangan Jalan Weld dan Jalan Tun Perak menyebabkan pemandunya cedera parah, manakala KPN meninggal dunia setibanya di Hospital Besar Kuala Lumpur. Allahyarham telah ditembak 11 das dengan 7 dan mengenai bahu, rusuk dan paha kiri.

Sepertimana yang dijangkakan, maklumat yang diberikan oleh saksi mengatakan serangan dilakukan oleh orang-orang Melayu. Selelah berjaya dalam misi ini, para pembunuh telah melarikan diri ke kem mereka di Betong. Kebiasaannya, pengganas komunis akan meninggalkan risalah propaganda dalam setiap serangan mereka, tetapi kali ini mereka tidak berbuat demikian kerana hendak mengekalkan kerahsiaan.

Anak Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Najib Rahman telah menulis satu artikel berkenaan insiden ini di Sunday Times pada 6 June 2010. Sila rujuk disini (link).


Pembunuhan Ketua Polis Kontinjen Perak

16 bulan selepas pembunuhan KPN. anggota pasukan pembunuh 1st Mobile Squad telah berjaya membunuh Ketua Polis Perak, Tan Sri Koo Chong Kong. Mendiang dan pemandunya terbunuh pada serangan yang dilakukan pada waktu tengahari di persimpangan Fair Park dan Jalan Anderson pada 13 November 1975. Bagaimanapun, kali ini saksi dapat mengenalpasti bahawa serangan dilakukan oleh orang-orang Cina. Turutan kepada itu, Polis berjaya menangkap 2 anggota squad pembunuh iaitu Ng Fu Nam (21 tahun) dan Lam Mun Cheong (23 tahun), yang kemudiannya dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh. Lam Mun Cheong adalah salah seorang pembunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim.

Upacara pengkebumian Ketua Polis Perak, Tan Sri Koo Chong Kong



Cubaan Bunuh Panglima Angkatan Tentera

Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail, yang juga merupakan ahli Thai-Malaya General Border Committee turut dijadikan sasaran oleh skuad pembunuh 1st Mobile Squad, PKM-ML. Setelah melakukan tinjauan termasuk mengenalpasti nombor dan jenis kenderaan yang digunakan dan laluan yang biasa diikuti antara rumahnya di Flagstaff House, Bukit Petaling dan MINDEF, Jalan Padang Tembak, tiga percubaan bunuh telah dirancang, tetapi menemui kegagalan.

Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail, terselamat dari 3 cubaan bunuh oleh pengganas komunis

Pada percubaan pertama, skuad pembunuh menggunakan beberapa motorsikal dengan nombor palsu telah mengekori kereta Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail, yang dalam perjalanan pulang dari MINDEF ke rumahnya. Bagaimanapun, pada masa yang sama terdapat sebuah kendaraan Land Rover milik pasukan Polis Tentera dengan beberapa anggota bersenjata berada dihadapan kenderaan  Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail dijalan yang sama. Pasukan pembunuh dengan sangkaan Land Rover tersebut sedang mengiringi kenderaan  Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail, mengambil keputusan untuk membatalkan serangan.

Serangan kedua yang dirancang di Jalan Imbi (kebiasaannya kereta Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail akan melalui jalan ini) juga dibatalkan kerana penglihatan mereka telah terhalang oleh sebuah lori yang tiba-tiba memotong kereta Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail tepat di kawasan membunuh yang telah ditetapkan. Percubaan terakhir dirancang di hadapan Balai Bomba di Jalan Shaw ketika  Jen. Tan Sri Ibrahim Ismail dalam perjalanan pulang kerumahnya. Kali ini skuad pembunuh membatalkan misi mereka kerana menyangka dua orang Cina yang sedang berdiri di hadapan Balai Bomba tersebut adalah detektif pasukan Polis.



Pembunuhan anggota-anggota Special Branch.

PKM di bawah pimpinan Chin Peng telah menubuhkan gerakan bawahtanah dengan membentuk pasukan yang mirip seperti Mobile Squad PKM-ML. Objektifnya adalah membunuh para informer (pemberi maklumat) dan anggota pasukan Special Branch. Antara tahun 1974 hingga 1978 sekurang-kurangnya 23 anggota Polis yang majoritinya anggota Special Branch berbangsa Cina telah dibunuh. Dalam beberapa kes mereka tersilap, orang awam yang disyaki anggota Special Branch juga telah dibunuh oleh anggota squad-squad pembunuh ini.

Thursday 22 January 2015

KONFRONTASI: Malaysia - Indonesia Undeclared War (1963 - 1966) PART 1

Konfrontasi Malaysia - Indonesia 1963-1966

Semasa Konfrontasi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya mempunyai 12,000 anggota, manakala kekuatan pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) adalah sekitar 320,000 anggota. Dari segi kekuatan tempur, Tentera Darat Malaysia (TDM) hanya memiliki 8 batalion infantri (RAMD), dua Rejimen Peninjau (Perisai), dua Skuadron Askar Jurutera dan satu Rejimen Meriam. Dengan penyertaan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia, kita mendapat tambahan dua lagi batalion infantri, iaitu Batalion 1 dan Batalion 2, Singapore Infantry Regiment (1 SIR dan 2 SIR). Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hanya memiliki pesawat latihan dan pesawat pengangkut, tanpa pesawat pejuang. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mempunyai 1,200 anggota mengoperasikan 11 buah kapal sahaja. ATM juga dibantu oleh batalion Pasukan Polis Hutan (PPH). Malaysia bagaimanapun bernasib baik dibantu oleh tentera British, Australia dan New Zealand. Pasukan-pasukan Komanwel yang terlibat adalah:
  • 1 RNZIR - Batalion 1, Royal New Zealand Infantry Regiment (link)
  • Batalion-batalion Gurkha - 1/2 Gurkha, 2/6 Gurkha, 1/10 Gurkha, 2/10 Gurkha (contoh: 2/10 Gurkha bermaksud Batalion ke-2, Rejimen ke-10 Gurkha)
  • 3 RAR - Batalion 3, Royal Australian Regiment (link)
  • 40 & 42 Commando Royal Marines
  • C Squadron, Queen's Royal Irish Hussars
  • B Company, King's Own Yorkshire Light Infantry (KOYLI)
  • 45 Light Regiment, Royal Artillery
  • 102 Field Battery, Royal Australian Artillery
  • 845, 846 & 848 Squadron, Naval Air Squadron
  • pasukan SAS British, Australia dan New Zealand
  • 80 pelbagai jenis kapal dari tentera laut Komanwel
  • pesawat pejuang dan pengebom Hawker Hunter, Canberra, CAC Sabre, pesawat pengangkut dan helikopter pasukan Komanwel
Senarai penuh Order of Battle (ORBAT) pasukan Malaysia dan Komanwel adalah seperti disini link.

Presiden Sukarno yang amat marah dengan penubuhan Malaysia berkata "pemerintah Indonesia telah dikentuti"

Pada mulanya Australia dan New Zealand agak keberatan untuk terlibat dengan menghantar pasukan tentera ke Malaysia kerana hendak menjaga hubungan baik dengan Indonesia, dan percaya British sendiri mampu menangani konflik tersebut sendirian. Walaupun terdapat beberapa permintaan yang dibuat oleh London sebelumnya, mereka hanya mula terlibat setelah Indonesia meluaskan kawasan operasi dari perbatasan Kalimantan ke Semenanjung dengan menggugurkan pasukan payung terjunnya di Pontian, Johor.

Rakyat Malaysia bersatu menentang kempen Ganyang Malaysia

Sukarno dan J.F. Kennedy

Berbanding dengan Malaysia, angkatan tentera Indonesia pada era 1960an merupakan salah satu pasukan yang moden dan terkuat di Asia Tenggara. Angkatan lautnya ketika itu mengoperasikan sebuah kapal kruiser KRI Irian (buatan Soviet kelas "Sverdlov") seberat lebih 16,000 tan dengan 1,330 pegawai dan anak kapal selain 12 buah kapal selam kelas KRI Pasopati (buatan Soviet kelas Whiskey). Angkatan udaranya pula memiliki jet pejuang tercanggih pada zaman itu dengan sejumlah 20 x MiG 21 Fishbed, 30 x MiG 15 Fagot, 49 x Mig 17 Fresco, 10 x MiG 19 Farmer, pesawat pengebom 26 x Tu 16 Badger A dan B, dan juga pesawat pengebom Il-28. Pesawat pengangkut adalah An 12B dan 41 buah helikopter Mi 4.

Pesawat pengebom Tupolev Tu-16

Pesawat pengebom Avro Vulcan milik Royal Air Force (RAF) di Butterworth semasa Konfrontasi



Antara sebab Konfrontasi dilancarkan keatas Malaysia:

  1. Presiden Sukarno iri hati dengan kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu semenjak merdeka pada tahun 1957. Indonesia pula sering dilanda kekacauan politik, pemborosan, salah tadbir dan nilai rupiah yang menurun.
  2. Partai Komunis Indonesia (PKI) bersungguh-sungguh untuk melancarkan konfrontasi ke atas Malaysia kerana hendak mencapai objektif mereka sendiri. Mereka berjaya mempengaruhi Sukarno dan Subandrio serta beberapa panglima dalam Angkatan Udara dan Laut, tetapi ditentang oleh Angkatan Darat. Semasa lawatan Subandrio ke China, Perdana Menteri China, Chou En Lai telah menjanjikan untuk menyumbangkan 100,000 laras rifel kepada Indonesia. Di atas perancangan PKI, senjata ini akan diberikan kepada satu sayap baru pasukan tentera yang dikenali sebagai Angkatan ke-5 terdiri dari para petani dan buruh. (TNI memiliki 4 cabang perkhidmatan - Angkatan Darat, Laut, Udara dan Kepolisian). 
  3. PKI beranggapan jika Jakarta dan Pulau Jawa dikuasai, keseluruhan Indonesia boleh dikuasai dengan mudah. Dengan itu PKI merancang Angkatan Darat digerakkan keluar dari Pulau Jawa. Sumatera dan Sulawesi digambar-gemburkan akan diserang oleh Malaysia. Atas keperluan keselamatan, Angkatan Darat perlu digerakkan ke sana.
  4. Campurtangan politik Indonesia dalam politik Tanah Melayu bermula dari tahun 1945 lagi. Pemimpin Melayu berfahaman kiri di Malaya berhubung rapat dengan Indonesia dan digalakkan agar cenderung kepada polisi Indonesia dan konsep Indonesia Raya. Mereka bersetuju mengisytiharkan kemerdekaan bagi Indonesia dan Tanah Melayu secara serentak pada 17 Ogos 1945 tetapi menemui kegagalan, sekaligus menghancurkan idea Indonesia Raya.
Pembentukan asal Persekutuan Malaysia pada 31 Ogos 1963 telah ditunda kepada 16 September 1963. Pada 17 September 1963, Republik Indonesia memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Sukarno menyuarakan kekecewaan dan kemarahan dengan berkata "pemerintah Indonesia telah di kentuti" dalam satu rapat umum, kerana Tunku Abdul Rahman meneruskan pembentukan Malaysia, walaupun mereka baru berjumpa di Tokyo sebulan sebelumnya. Kemudian pada 1 Jun 1965, Republik Indonesia telah keluar dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB - United Nations) setelah tentangan supaya PBB tidak melantik Malaysia sebagai ahli Majlis Keselamatan tidak dilayan oleh PBB.

Jet pengebom Canberra milik Royal New Zealand Air Force (RNZAF)

KRI Pasopati 

Kapal kruiser KRI Irian


DWIKORA

Dwi Komando Rakyat (Dwikora) diumum secara rasmi oleh Sukarno pada 3 Mei 1964 dengan rancangan menubuhkan pasukan sukarelawan didalam kempen Ganyang Malaysia (Crush Malaysia), walaupun penyusupan para sukarelawan di Borneo telah berlaku lebih awal lagi dari tarikh tersebut. Pasukan-pasukan sukarelawan ini diketuai oleh anggota-anggota Korps Komando Operasi, Komando Pasukan Katak (Kopaska) dan juga melibatkan Resimen Para Komando Angkatan Darat (RPKAD). 

Komando Siaga atau KOGA (dalam istilah Indonesia, komando adalah "command" iaitu pemerintah, bukan merujuk kepada komando pasukan khas) telah ditubuhkan, dengan Panglima Udara Omar Dhani telah dilantik menjadi Panglima KOGA yang akan mempersiapkan sukarelawan Ganyang Malaysia. Bagaimanapun, hanya lebih 1,000 sukarelawan dihantar ke Malaysia, tetapi berita yang digembar-gemburkan adalah seramai 8,000 anggota TNI dan 22 juta sukarelawan Fron Nasional Ganyang Malaysia telah dipersiapkan. Perlantikan ini agak pelik apabila ianya tidak diketuai oleh panglima dari Angkatan Darat memandangkan kebanyakan operasi melibatkan pergerakan di darat, dan menimbulkan rasa tidak puas hati bebrapa panglima dalam Angkatan Darat seperti Suharto.


Jet pejuang MiG 15 dan pesawat pengangkut Antonov An12 milik TNI-AU



Penglibatan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) semasa Konfrontasi

Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) adalah pasukan yang terbesar penglibatannya dalam membendung ancaman dari pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan sukarelawan Ganyang Malaysia. Pada ketika itu RAMD telah mempunyai 8 batalion yang aktif, manakala Batalion ke-9 RAMD baru ditubuhkan pada 1 Sep 1965 dan hanya mencapai status operasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 1966. Rejimen infantri yang kedua terbesar, Rejimen Renjer Diraja menerima penyerahan Batalion 1 dan Batalion 2 anggota Sarawak Rangers (yang diserapkan menjadi Renjer Malaysia) pada 4 Okt 1965 di Kem Syed Putra, Ipoh.


- BERSAMBUNG -

Wednesday 21 January 2015

VAT 69 commando: CIW Operation Setia 13/79 (Tanjung Malim) - Apot the jungle tracker

Topik berkenaan peperangan hutan (jungle warfare) telah banyak kali dikaji secara meluas oleh pakar-pakar strategis antarabangasa dengan mengambil Perang Dunia ke-2 dan ke Perang Vietnam sebagai bahan kajian. Hutan memberi banyak impak kepada strategi pasukan tentera, hutan yang tebal memendekkan jarak penglihatan (line of sight) dan lingkungan arah tembakan (arc of fire) tetapi pada masa yang sama memberi perlindungan atau penyamaran yang baik untuk anggota tentera. Hutan juga menyediakan banyak bahan (kayu contohnya) untuk membuat pangkalan sementara dan tempat-tempat rehat yang lebih kecil untuk diduduki dalam masa yang lebih singkat. Bentuk muka bumi juga boleh menjadi cabaran kepada pergerakan dan lojistik. Semasa Darurat Pertama di Malaya, pasukan SAS umpamanya pernah mengatakan mereka perlu mengambil masa selama 4 jam untuk bergerak sejauh 2 kilometer kerana bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan hutannya yang tebal melambatkan pergerakan dan meletihkan individu, tambah lagi jika bergerak di waktu hujan. Kerana kesulitan lojistik dan ketiadaan akses untuk kenderaan, pasukan tentera atau gerila-gerila bergerak dalam kumpulan yang lebih kecil dalam hutan, dengan setiap individu terpaksa membawa sendiri bekalan makanan (rangsum tempur) dan juga bekalan peluru, selain senjata masing-masing.


Tentera Brazil dikatakan antara pasukan tentera yang paling terlatih dalam peperangan hutan. Keadaan hutan di Malaysia yang beriklim tropika tidak jauh bezanya dari hutan di Amerika Tengah atau Amerika Selatan. Tentera British dan Perancis juga menjalani latihan hutan di Belize dan French Guyana.


Pengalaman pasukan British di Malaya juga menunjukkan betapa perlunya pasukan yang beroperasi di dalam hutan mempunyai anggota yang mahir dan terlatih dalam penjejakan hutan (jungle tracking). Mereka menggunakan perkhidmatan Orang Asli atau Iban dalam operasi-operasi mereka dari zaman Darurat 1948-1960 hinggalah Konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963-1966.  Dari tahun 1948 hingga 1952 seramai 1,168 penjejak Iban telah berkhidmat di Malaya, tetapi hanya seorang gugur dalam pertempuran pada 12 Mac 1951, iaitu Jaweng anak Jugah. Mendiang tertembak secara tidak sengaja oleh seorang anggota Special Constable (SC) kerana disangka pengganas komunis. Sarawak Rangers umpamanya pernah diiktiraf oleh Pesuruhjaya British, Sir Gerald Templer sebagai pasukan yang terbaik di dunia dalam peperangan hutan. Sarawak Rangers ditubuhkan dari tahun 1862 dan kemudian diserapkan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai Rejimen Renjer pada tahun 1963.

Rangsun tempur ATM

Sarawak Rangers

Polis Di Raja Malaysia (PDRM) juga mempunyai batalion Senoi Praaq yang terdiri dari Orang-orang Asli yang mahir dalam selok belok hutan. Salah seorang yang terkenal di kalangan tentera Komanwel (Australia dan New Zealand), adalah Sarjan Apot yang diberi gelaran "The Big Nose" kerana kemahiran beliau dalam penjejakan hutan. Mari kita lihat sumbangannya pada pasukan komando VAT 69 dalam Operasi Setia 13/79 di Tanjung Malim.

Kurang dari 3 bulan setelah pasukan VAT 69 bertempur dengan pengganas komunis di Kuala Kubu Baru, terdapat laporan perisikan dari Special Branch bahawa 4 pengganas komunis telah kelihatan mencuba mendapatkan bekalan makanan dan rekrut baru di kawasan Tanjung Malim, Selangor. Kumpulan Ronda Alpha 2 dibawah pimpinan Inspektor Goh Kim Hua dengan dibantu oleh Sarjan Apot yang terkenal dengan kepakarannya dalam penjejakan hutan (link). Beliau telah dapat mengesan pergerakan 4 anggota pengganas komunis tersebut dua hari selepas VAT 69 dimasukkan ke dalam kawasan operasi (16 Nov 1979). Pasukan Ronda Alpha 2 meneruskan penjejakan sehinggalah mereka menemui tempat rehat (RP - resting place) yang telah ditinggalkan kira-kira seminggu lamanya. Seterusnya, mereka menemui satu RP setiap hari yang digunakan hanya untuk satu malam sahaja oleh pengganas komunis tersebut. Mereka dijangka membawa bebanan berat kerana meninggalkan kesan tapak kaki yang dalam, dan ini jelas kelihatan pada tanah lembut dan becak selepas hujan.

Bebanan dan bentuk mukabumi memberi kesan kepada mobiliti.


Tempoh sesuatu misi menentukan berapa banyak rangsum dan bekalan peluru yang perlu dibawa. Menjadi kebiasaan anggota pasukan keselamatan kita dahulu menukarkan rangsum makanan dalam tin yang lebih berat kepada biskut atau mee segera yang lebih ringan digalas.

Pasukan komando Rhodesia dilatih membawa sedikit bekalan makanan dan bergantung kepada ikhtiar hidup seperti memakan daging biawak dan baboon.

Pada 24 Nov 1979, hari ke sembilan operasi, Alpha 2 semakin menghampiri pasukan pengganas komunis tersebut, kira-kira sehari perjalanan dibelakang mereka. Ketika ini, VAT 69 telah menjumpai 11 tempat rehat dan mendapati pengganas komunis tersebut tidak berusaha untuk memadam kesan tapak mereka. Pada hari kesepuluh operasi, pasukan ronda Alpha 2 menemui kesan yang masih baru menuju ke arah FELDA Trolak. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1 petang, dan mereka mengambil keputusan untuk berhenti makan tengahari. Pada jam 3 petang, semasa meneruskan rondaan, hujan turun dengan lebatnya, diikuti dengan angin yang kuat dan petir. Keadaan ini semakin menyukarkan penjejakan, tetapi Sarjan Apot tidak mahu mengalah dan meneruskan penjejakan. Dua jam kemudian beliau berjaya mengesan tapak kaki (tanpa kasut) menuju ke atas bukit. Apa yang menjadi persoalan, adakah ia kesan tapak kaki Orang Asli? Setelah memerhati buat seketika, Sarjan Apot yang sememangnya berpengalaman tidak boleh diperdaya oleh pengganas komunis. Menurut perkiraannya, tapak kaki Orang Asli sedikit melebar pada ibu jari kaki kerana mereka biasa berjalan tanpa kasut. Beliau amat pasti tapak kaki tersebut milik pengganas komunis yang cuba memperdaya mereka.

Kira-kira 3 kilometer dari Trolak, mereka telah menemui kumpulan pengganas komunis tersebut sedang menyediakan tempat rehat kerana senja menjelang tiba. Alpha 2 juga mengambil keputusan untuk tidak menyerang kerana hari semakin gelap. Malam itu mereka merangkak menghampiri perimeter tempat rehat musuh, dengan uniform mereka yang basah kerana hujan siang tadi dan hanya memakan biskut dan air sejuk sahaja, mereka menunggu matahari terbit untuk melancarkan serangan. Sepanjang malam mereka tidak tidur kerana mengawasi aktiviti pengganas komunis tersebut. Musuh tidak sedar mereka sedang dikepung dan meneruskan aktiviti seperti memasak dan menghidupkan unggun api untuk mengeringkan pakaian mereka yang basah akibat hujan.



Kira-kira pada jam 6 pagi, seorang pengganas yang menjadi sentri tiba-tiba membangunkan kawan-kawannya, Mereka menghidupkan api untuk memasak sarapan pagi, dan tiba-tiba salah seorang dari mereka bergerak ke arah anggota VAT 69 yang sedang membuat kepungan, mungkin kerana hendak membuang air, Dia menggunakan lampu suluh untuk menerangi laluannya, dan setelah dia semakin hampir pada jarak 5 meter dari anggota VAT 69, Sarjan Apot mengambil keputusan melepaskan tembakan. Musuh mati serta merta, dan yang lainnya membalas tembakan. Bagaimanapun, VAT 69 dapat mencederakan seorang lagi musuh. Musuh yang cedera ditarik oleh kawan-kawannya dan mereka menghilang dalam kegelapan subuh itu.

Setelah melakukan penggeledahan, Alpha 2 menemui kesan darah musuh yang cedera tadi, sepucuk pistol Browning dengan satu megazin dan 49 butir peluru 9mm, sepucuk pistol Llama dengan satu megazin dan 30 butir peluru .32, sebutir grened, peralatan membuat jerangkap samar dan beberapa dokumen. Operasi susulan dibuat dengan memasukkan beberapa lagi kumpulan ronda VAT 69. Mereka hanya berjaya menemui beberapa RP sahaja. Pada 22 Jan 1980, setelah 67 hari beroperasi di kawasan tersebut, kesemua pasukan ronda VAT 69 ditarik keluar untuk direhatkan seketika. Bagi menggantikan mereka, Batalion ke-3, Pasukan Polis Hutan (PPH) telah digerakkan ke FELDA Trolak. Mereka melakukan rondaan secara intensif sehinggalah pasukan VAT 69 mengambil alih kembali tugas di kawasan tersebut 2 minggu kemudian. Pengurus FELDA tersebut telah diberitahu bahawa beberapa orang pengganas komunis sedang diburu dan salah seorang dari mereka mengalami kecederaan. Beliau diarahkan menghubungi pejabat Special Branch di Slim River jika ternampak orang asing yang mencurigakan.


Anggota pengganas Parti Komunis Malaya



Sepuluh hari selepas pasukan VAT 69 direhatkan, 3 pengganas komunis tersebut, dua lelaki dan satu wanita, dengan berpakaian seperti orang awam, telah berjalan menuju ke dalam kawasan FELDA Trolak pada jam 6 pagi dan menahan sebuah teksi. Mereka menawarkan pemandu teksi tersebut RM 30 untuk membawa mereka ke Kampung Slim yang hanya beberapa kilometer sahaja dari situ. Ketika teksi tiba di pintu keluar kawasan FELDA tersebut, pengawal keselamatan FELDA telah menahan dan meminta kesemua penumpang menunjukkan kad pengenalan mereka. Setelah gagal menunjukkan kad pengenalan, dengan pantas pengawal keselamatan tersebut merampas kunci kereta. Dia kemudian melaporkan kepada Pengurus FELDA tentang tangkapan 3 orang asing telah dibuat. Pasukan Special Branch tiba beberapa minit setelah menerima panggilan dari Pengurus FELDA tersebut.

Apabila tiba di Balai Polis Trolak, seorang Koperal Polis telah memeriksa payung yang dibawa oleh wanita tersebut dan mendapati sepucuk pistol jenis Llama terjatuh ke lantai. Setelah di soal siasat oleh Special Branch mereka mengaku bahawa mereka ahli Armed Work Force (AWF) Parti Komunis Malaya yang beroperasi di kawasan Tanjung Malim - Slim River. Mereka menceritakan yang mereka dalam misi mengumpul dan menyorokkan bahan makanan, dan tidak sedar yang mereka telah diekori oleh pasukan ronda Alpha 2. Pertempuran yang berlaku pada 25 Nov 1979 telah membunuh Hak Keong, Ahli Komiti Daerah, AWF dan mencederakan isterinya. Isterinya yang kehilangan banyak darah telah pengsan semasa dibawa lari, tetapi dapat berjumpa semula 2 orang kawannya disebuah perkampungan Orang Asli yang berhampiran. Setelah bersembunyi selama sebulan, mereka yakin dapat melepaskan diri dari pasukan keselamatan dan cuba untuk bergabung dengan pasukan mereka di Tanjung Malim dengan mengambil teksi di Felda Trolak, tetapi tertangkap. Special Branch kemudian menangkap Tok Batin Orang Asli berkenaan, dimana beliau mengaku telah di upah oleh pengganas komunis beberapa kali sebelumnya.



Dengan tertangkapnya mereka ini, lebih banyak tangkapan lain berjaya dibuat, menjadikan keseluruhan elemen bawah tanah Parti Komunis Malaya di Tanjung Malim telah terbongkar dan dilumpuhkan oleh pasukan keselamatan. Kejayaan operasi ini juga bergantung kepada kecekapan Sarjan Apot dalam penjejakan hutan, dimana beliau masih mampu untuk menghidu pergerakan musuh walaupun berhadapan berbagai halangan dan muslihat musuh.

Sarjan Apot telah bersara dengan pangkat Sarjan Mejar pada tahun 2004 dan kini menjadi seorang penoreh getah (link) sepertimana rencana dalam akhbar Utusan Malaysia pada 19 Feb 2011. Rencana oleh akhbar Sinar Harian (link).

Saturday 17 January 2015

Operation Indera 12 / Indera Khas 1/80 (Bentong) - 1980, VAT69 Commando PART 2

Sambungan dari Bahagian 1 (link).

Pada 11 Mac 1980, enam hari selepas serangan udara dilancarkan, 2 pasukan ronda telah menemui sebuah lubang berhampiran satu denai. Disebelah lubang itu terdapat sehelai tuala putih kecil dengan kesan darah yang telah kering. Berdasarkan kesan di lokasi itu, komando VAT 69 menjangkakan jerangkap samar telah meletup dan mencederakan seseorang. Jangkaan itu disahkan 3 bulan kemudian, bila salah seorang rekrut baru pengganas komunis Parti Komunis Malaya (PKM) telah menyerah diri ke pihak berkuasa. Berdasarkan pengakuannya, salah seorang pengganas komunis telah cedera parah apabila jerangkap samar (bobby trap) yang cuba dipasangnya telah tiba-tiba meletup dengan sendirinya, mencederakan kaki dan tangannya. Beliau juga menceritakan, kerana telah kehabisan makanan, pasukannya telah mengarahkan sekumpulan 6 pengganas komunis ke Telemong untuk mendapatkan bekalan makanan mereka (food dumps) disana. Kebiasaannya, pengganas komunis mempunyai stor rahsia yang menyimpan bekalan makanan yang telah dibungkus dan ditanam didalam tanah. Menurutnya juga, mereka benar-benar tertekan dengan tembakan artileri dan serangan udara yang membuatkan mereka terpaksa terus bergerak walaupun kekurangan rehat dan kebuluran. Tekanan yang dialami tidak dapat lagi ditanggung terutama oleh rekrut-rekrut baru pengganas komunis itu. Kebanyakannya ingin menyerah diri kepada pasukan keselamatan, tetapi tidak tahu bagaimana caranya.



Laporan telah diterima oleh pejabat daerah Special Branch, dimana pemberi maklumat mengatakan beliau telah ternampak pergerakan beberapa orang asing di pekan Ketari yang terletak di persimpangan Kuala Lumpur - Karak - Bentong. Setelah disoal siasat, sungguhpun maklumat yang diterima tidak berdarjah tinggi, VAT 69 tidak mahu melepaskan peluang yang ada, walaupun kelihatan begitu tipis. ASP Rani dan ASP Annuar mengetuai 2 pasukan ronda dalam misi kali ini. Bagi pasukan mereka, ini adalah peluang untuk membalas dendam atas kecederaan yang menimpa anggota pasukan mereka pada awal operasi, iaitu Konstabel Halim dan Sarjan Yusoff yang telah putus kaki akibat jerangkap samar pengganas komunis.

Perancannya adalah dengan memasukkan 2 kumpulan ronda (diketuai ASP Annuar) dengan berjalan kaki selepas waktu tengah malam untuk mengekalkan kerahsiaan, kerana pekan Ketari agak sibuk pada siang hari. Dua lagi pasukan ronda dibawah pimpinan ASP Rani akan digerakkan dengan kenderaan selepas tengah malam, ke suatu kawasan 5 kilometer ke utara pekan Ketari. Kesemua pasukan dijangkakan akan berjumpa disatu lokasi RV (rendezvous), di sebuah bukit bernama Spot Height dalam masa 48 jam. Pencarian oleh 4 pasukan ronda ini tidak mendatangkan apa-apa hasil. Mereka riba di RV kira-kira jam 5.30 petang, dan bercadang meneruskan rondaan sebelum senja tiba. Satu pasukan yang diketuai oleh tracker Orang Asli, Sarjan Apot telah menemui beberapa karung guni (gunnysack) dan 4 bekas tin bersaiz 4 gallon yang disembunyikan disebalik batu dalam ladang getah berhampiran Spot Height. Sarjan Apot juga dapat mengesan, kesan tapak kaki kecil yang tidak begitu dalam, kemungkinan kesan milik seorang wanita. Kesan tapak kaki itu masih baru, kira-kira sehari sahaja. Apa yang memusykilkan, kesan tapak kaki dan barang-barang yang dijumpai itu jauh dari aktiviti penoreh getah di kawasan tersebut. Memandangkan cuaca telah hampir gelap, pada jam 6.45 petang, pencarian terpaksa dihentikan. Malam itu mereka tidak memasang khemah dan juga tidak dibenarkan memasak makanan kerana terdapat tanda-tanda musuh berhampiran.



Keesokkan paginya, ASP Annuar telah terlihat satu kesan asap dari pembakaran. Beliau telah mengarahkan satu pasukan tinjau terdiri dari 3 anggota untuk membuat tinjauan kearah asap tadi. Mereka dapati 3 lelaki berpakaian awam sedang memasak dan melakukan beberapa aktiviti. Kesemuanya kelihatan normal, tetapi ada beberapa perkara yang meragukan. Pertama, penoreh atau pekerja yang membersihkan semak samun diladang biasanya membawa bekalan makanan, mereka tidak akan memasak ditempat kerja. Terdapat lagi 2 lelaki menyertai kumpulan 3 orang tadi. Mereka kelihatannya membawa beberapa helai baju yang dilipat. Biasanya para penoreh tidak membawa baju lebih, mereka datang dan pulang dengan basikal atau motorsikal dan tidak memerlukan mereka menukar pakaian selepas kerja. Kumpulan tinjau tadi segera kembali dan melaporkan penemuan yang mencurigakan itu. Maklumat kemudian segera disalurkan ke Markas Taktikal, dan mendapat arahan untuk bertindak dengan segera.

Kira-kira 50 meter dari sasaran, mereka meninggalkan beg-beg galas bersama-sama 2 operator radio yang mengekalkan komunikasi dengan Markas Taktikal. Mereka selaraskan jam masing-masing dan bergerak mengambil posisi menyerang. Perancangannya, satu pasukan ronda pimpinan ASP Annuar akan membuat serangan hadapan (frontal assault) manakala lagi 3 pasukan ronda pimpinan ASP Rani membentuk kepungan. Sebaik pasukan ASP Annuar mengambil posisi, 3 pengganas komunis dengan uniform telah menyertai 5 rakan mereka tadi. Kini terdapat 8 pengganas komunis semuanya, campuran lelaki dan wanita. Salah seorang pengganas didapati sedang menggosok gigi dan menyikat rambut kira-kira 25 meter dari posisi ASP Annuar, namun beliau tidak dapat mengambil apa-apa tindakan kerana tidak pasti jika pasukan penyekat ASP Rani sudah bersedia di dalam posisi masing-masing atau tiadk. Tambah lagi, waktu masih terlalu awal dari apa yang mereka rancangkan pada mulanya. Sebarang keputusan yang tidak tepat atau kegopohan boleh menjadikan musuh terlepas dan usaha mereka selama beberapa hari memburu menjadi sia-sia. Memandangkan koordinasi waktu serangan amat kritikal pada masa ini, ASP Annuar menahan diri dari mengambil tindakan dan menantikan waktu serangan yang telah dipersetujui pada awalnya.



Pasukan ASP Rani pula yang telah sedia di dalam posisi kepungan memerhati sahaja 8 musuh mereka di hadapan mata dengan jari di picu raifel masing-masing. Mereka juga merasakan debarannya dan tiada komunikasi yang boleh dibuat dengan pasukan ASP Annuar untuk memberitahu bahawa mereka telah bersedia diposisi yang ditetapkan. Lima minit kemudian, seorang lagi pengganas menghampiri posisi ASP Annuar, kali ini ASP Annuar melepaskan tembakan dan membunuh pengganas komunis tersebut serta-merta. Serentak itu, pasukan yang mengepung juga melepaskan tembakan. Pasukan pengganas komunis menjadi kelam-kabut, ada yang mahu lari tetapi dihalang oleh salah seorang dari anggota wanita mereka. Empat berjaya ditembak mati dan empat lagi melarikan diri dalam dua arah berasingan. Mereka yang melarikan diri adalah dua pasangan suami-isteri, dan bersembunyi disebalik semak samun. Markas Taktikal telah mengarahkan mereka ditangkap hidup-hidup, namun setelah menunggu selama 45 minit mereka enggan menyerah diri sebaliknya melepaskan tembakan. Sebutir bom tangan yang dilempar kearah mereka telah disepak dan meletup tidak berapa jauh dari lokasi persembunyian mereka. Kerana situasi yang mendesak dan tidak mahu ada kemalangan jiwa kepada anggota VAT 69, arahan telah dikeluarkan untuk menghapuskan kesemua saki-baki musuh. Kesemua 4 pengganas komunis telah berjaya dibunuh dan mayat-mayat mereka diterbangkan dengan helikopter ke Raub.

Orang pertama yang diberitahu tentang kejayaan ini adalah Tun Mohd, Haniff Omar, Ketua Polis Negara pada ketika itu. Beliau yang sedang berada dalam mesyuarat pegawai kanan polis memaklumkan perkara tersebut di dalam mesyuarat dan kemudian mengambil keputusan melawat Konstabel Halim dan Sarjan Yusoff yang masih dirawat di Hospital Besar untuk menyampaikan berita gembira tersebut. Setelah dimaklumkan atas kejayaan operasi tersebut, Konstabel Halim dan Sarjan Yusoff rasa terharu dan bangga kerana pasukan mereka berjaya membunuh 8 pengganas komunis, dan merasakan pengorbanan mereka tidak sia-sia.


Pemburuan diteruskan, kali ini pengganas komunis telah berpecah dalam kumpulan-kumpulan kecil dan cuba memadam kesan pergerakan mereka, menjadikan penjejakan semakin sukar. Dalam satu insiden Sarjan Hamzah telah cedera kerana terpijak jerangkap samar tapi bernasib baik kerana tidak serius. Pada penghujung operasi, satu kumpulan ronda VAT 69 yang diatur gerak ke Telemong untuk mencari stor rahsia pengganas komunis telah menemui beberapa bekas makanan dan bahan-bahan membuat jerangkap samar yang terdedah kerana hakisan tanah. Dua hari kemudian, semasa meronda, VAT 69 terserempak dengan seorang pengganas komunis yang sedang memasang jerangkap samar. Dia ditembak serta merta dan jatuh ke atas jerangkap samar yang dipasangnya tadi, menyebabkan berlaku letupan. Serentak itu 5 lagi pengganas komunis keluar dan berlaku pertempuran. Seorang lagi berjaya dibunuh dan selebihnya melarikan diri.

Pada 8 April 1980, pasukan VAT 69 direhatkan setelah 46 hari beroperasi. Pada 11 hingga 20 September 1980, mereka terlibat dalam Operasi Kambing, di kawasan Kuala Kubu Baru (KKB). 10 kumpulan ronda VAT 69 telah diatur gerak, kali ini setiap pasukan ronda telah diberikan kawasan operasi mereka sendiri. Mereka juga telah dilengkapi dengan alat pandang malam bagi membolehkan mereka membuat serang hendap pada waktu siang ataupun malam. Mereka juga memasang "Claymore mines" dan juga "trip flare" semasa menanti dalm posisi serang hendap. Kira-kira jam 10.15 malam, dalam satu posisi serang hendap, mereka ternampak cahaya kelam dari lampu suluh yang dihidup dan dimatikan berulang kali dalam masa yang singkat. Teknik begini biasanya dipraktikkan oleh pengganas komunis apabila bergerak pada waktu malam. Setelah cahaya tersebut berada kira-kira 20 meter dari pasukan serang hendap, tembakan dilepaskan selama 30 saat, tetapi tiada respon. Tiada pencarian dilakukan pada malam itu, dan esok paginya mereka menemui satu mayat pengganas komunis.

Tahun 1980 merupakan kejayaan cemerlang bagi VAT 69 yang mana mereka terlibat dalam 14 operasi yang mengambil masa selama 170 hari. Mereka menemui 6 kem musuh, 30 tempat rehat sementara dan berjaya membunuh 11 pengganas komunis, dan secara kebetulan, VAT 69 menyambut ulangtahun ke- 11 pada tahun itu.


Friday 16 January 2015

Operation Indera 12 / Indera Khas 1/80 (Bentong) - 1980, VAT69 Commando PART 1

Dalam bulan Februari 1980, kira-kira seminggu sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina, laporan perisikan menyatakan terdapat petunjuk seramai 6 orang pengganas komunis di kawasan terpencil hutan Bentong telah meminta bekalan makanan dari kumpulan penyokong mereka. Adalah menjadi kebiasaan bagi anggota pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) membuat acara sambutan perayaan bila tibanya Tahun Baru Cina.

Menurut laporan risikan itu, kumpulan pengganas komunis ini telah meminta bekalan daging khinzir untuk dihantar kepada mereka. Memandangkan daging khinzir tidak boleh disimpan lama, menurut perkiraan Special Branch (SB), kemungkinan mereka mengambil bekalan daging tersebut adalah tinngi dan dalam masa terdekat, beberapa hari menjelang perayaaan yang dinantikan. Bagaimanapun tiada maklumat tepat tentang lokasi pertemuan (rendezvous) mereka didalam laporan risikan tersebut, tetapi dianggarkan antara Km 30 dan 31 jalan lama Kuala Lumpur - Bentong. Sebagai tanda lokasi pertemuan, pengganas komunis akan meletakkan tanda anak panah yang dibuat dari daun-daun menghala kearah kiri jalan dari pekan Bentong ke Kuala Lumpur.

Dua pasukan ronda VAT 69, Delta 1 dan Delta 2 dibawah pimpinan ASP Mohd. Yunus Lazim digerakkan ke kawasan tersebut pada malam 11 Feb 1980, empat hari sebelum tarikh penghantaran bekalan makanan tersebut akan dibuat. Mereka mengambil perlindungan 2 kilometer di dalam hutan dari lokasi tersebut untuk mengelakkan dari dikesan oleh pengganas komunis dan mengagalkan misi tersebut kerana objektifnya adalah untuk mengikut pengganas komunis balik dan mengenalpasti kedudukan kem mereka di dalam hutan.



komando pasukan polis VAT 69 semasa era insurgensi


Dua hari kemudian, pada 13 Feb 1980, Special Branch mengesahkan bekalan telah dihantar. Kini tugas kumpulan ronda adalah mengesan "drop-off point" tempat bekalan dihantar. Mereka berjaya menemui kesan tayar sebuah van membuat U-turn, sedikit taburan beras dan satu paket mee segera yang jatuh semasa kerja pemunggahan dilakukan. Mereka juga mengesan tanda-tanda pergerakan 6 hingga 8 orang di kawasan tersebut. Kesan tapak kaki agak dalam, menandakan mereka membawa barang-barang yang berat. Memandangkan waktu telah menunjukkan jam 6 petang, kumpulan ronda VAT 69 mengambil keputusan bermalam di situ. Mereka tidak memasak makanan pada malam itu untuk mengelakkan bau masakan dikesan musuh dan hanya bergantung pada rangsum tempur dan air minuman sahaja. Anggota pasukan ronda tidak dapat tidur pada malam itu kerana hujan turun dengan lebatnya selepas tengah malam.

Subuh keesokkannya, mereka meneruskan penjejakan. Mereka bernasib baik, walaupun hujan lebat pada malamnya, kesan pergerakan musuh masih kelihatan jelas. Keteika mereka berehat diatas sebuah bukit, tiba-tiba terdengar suara orang bercakap-cakap. Untuk mengenalpasti samada pengganas komunis atau penoreh getah, VAT 69 menghantar 2 anggota untuk meninjau ke arah suara tadi. Ketika sedang mereka merangkak, salah seorang telah terlanggar batu yang bergolek turun dari bukit menuju ke arah suara tadi. Berlaku tembak menembak dan musuh berjaya melarikan diri.

Dalam penjejakan berikutnya yang mengambil masa setengah hari, mereka telah ditembak apabila tiba di satu kawasan kaki bukit. Setelah pengganas komunis berundur, kumpulan ronda VAT 69 menemui kesan darah (seorang pengganas komunis cedera) dan kawasan khemah seluas 90 meter persegi yang dilengkapi dengan bilik syarahan, dapur dan tandas.Kem ini dianggarkan boleh menempatkan 30 pengganas komunis. Terdapat juga baju-baju orang awam yang mungkin merupakan rekrut baru PKM disitu.



Penjejakan diteruskan walaupun pergerakan agak perlahan kerana dikhuatiri pihak musuh memasang banyak jerangkap samar. Mereka terpaksa melalui denai yang sempit dan dalam satu barisan sahaja (single file) untuk mengelak risiko jerangkap samar. Enam hari berikutnya pasukan ronda VAT 69 menemui 2 tempat rehat yang jaraknya 300 meter antara satu sama lain. Kesan-kesan menunjukkan musuh bermalam di situ hanya untuk satu malam sebelum meneruskan pergerakkan. Pada hari yang ke sepuluh operasi, pasukan ronda menemui sebuah lagi kawasan rehat 1,200 meter dari  lokasi kawasan rehat terakhir yang ditemui. Pasukan ronda berhenti rehat disitu, dan semasa berjalan mencari punca air, Konstabel Halim bin Puteh, operator radio, telah terpijak jerangkap samar dan kakinya putus separas lutut. Mereka terpaksa meletupkan beberapa batang pokok untuk membolehkan mangsa dikeluarkan dari kawasan tersebut dengan kaedah winching. Proses evakuasi mengambil masa kira-kira 15 minit setelah ketibaan helikopter. Insiden ini tidak melemahkan moral para anggota VAT 69 tapi membangkitkan kemarahan mereka. Manakala di pihak musuh, dengan terdengarnya bunyi letupan, ia menggalakkan mereka memasang lebih banyak lagi jerangkap samar.

Pada ketika ini, 8 lagi pasukan ronda VAT 69 telah dimasukkan ke dalam kawasan operasi. Mereka menemui 5 lagi tempat perhentian/kawasan rehat musuh. Terdapat tanda-tanda pengganas komunis telah kehabisan bekalan makanan dengan penemuan kulit monyet, kulit ubi kayu, kulit rangka kura-kura dan kulit pisang muda. Pada 20 Feb 1980, untuk melengahka pasukan pergerakan musuh, VAT 69 telah meminta bantuan tembakan artileri dan serangan udara menggunakan jet Tebuan. Selama seminggu berturut-turut tembakan artileri dibuat pada waktu malam untuk menghalang musuh berehat dan membuatkan mereka sentiasa bergerak. Koordinasi lokasi yang diberikan oleh VAT 69 kepada pasukan artileri agak tepat kerana terdapat penemuan kesan darah, yang menggambarkan musuh berada di dalam posisi "sitting duck". Selepas tamat tembakan bantuan dari pasukan artileri, 2 batalion Pasukan Polis Hutan telah digerakkan dikawasan sekitar Genting Highlands bagi menghalang pasukan komunis yang diburu bergabung dengan pasukan Armed Work Force (AWF) mereka. Jika ini berlaku, mereka akan dengan mudah dibawa keluar dari hutan dengan pakaian orang awam yang dibekalkan oleh pasukan AWF.




Pada 27 Feb 1980, hari ke-17 operasi, VAT 69 menemui satu lagi kawasan rehat musuh. 3000 meter dari penemuan terakhir. Adalah menjadi amalan biasa apabila sesuatu kawasan musuh ditemui, 3 anggota pasukan ronda akan diarahkan membuat pemeriksaan, sebelum anggota pasukan ronda lain masuk ke kawasan tersebut. Risiko yang diambil oleh pasukan yang membuat pemeriksaan adalah amat tinggi. Kali ini, dalam masa kurang 3 minit pemeriksaan dibuat, Sarjan Yusoff terpijak jerangkap samar dan cedera parah pada kaki kirinya. Dia juga ditarik keluar dengan helikopter. Penjejakan seterusnya menjadi semakin perlahan kerana telah berlaku dua insiden jerangkap samar. Mereka jangkakan berada 2 hari dibelakang pasukan pengganas komunis. VAT 69 sekali lagi meminta bantuan serangan udara untuk menghalang musuh bergerak lebih jauh lagi, dan membolehkan paukan ronda VAT 69 merapati musuh lebih cepat. Kawasan seluas 2 petak peta telah ditanda, dengan 6 sasaran ditanda sebagai tempat kemungkinan pengganas komunis akan berhenti rehat. Sebuah helikopter Nuri bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) dengan menggugurkan smoke canister pada koordinat yang ditandakan, dan seterusnya pengeboman dilakukan oleh 2 buah jet Tebuan. Selepas mendapat "clearance" pasukan di darat melakukan pengelidahan dikawasan pengeboman dan mendapati koordinat kedudukan musuh yang diberikan oleh VAT 69 untuk serangan udara adalah tepat. Terdapat kesan-kesan musuh berpecah kepada dua kumpulan dan mereka telah kehabisan makanan,


- BERSAMBUNG -


Rujukan - sejarah VAT 69 dilatih oleh SAS (link)

Wednesday 14 January 2015

RMN's Mahamiru (Lerici class MCMV - Mine Counter Measure Vessel)

Ranjau laut adalah alat peledak yang dipasang pada permukaan laut, di dalam atau dilantai (dasar) lautan, yang bertujuan untuk memusnahkan kapal laut atau kapal selam. Ia juga boleh digunakan sebagai senjata ofensif dengan memasang pada laluan perkapalan tertentu atau menghalang kapal-kapal musuh keluar dari pelabuhan mereka. Jika digunakan secara defensif, ia boleh melindungi kawasan-kawasan tertentu atau menghalang kapal-kapal musuh menghampiri pantai untuk mendaratkan pasukan amfibi mereka.

Ranjau laut jenis terapung

Letupan dari ranjau laut

Senjata ini mula digunakan se-awal abad ke-14 dimana tentera laut Dinasti Ming menggunakannya untuk menentang lanun-lanun Jepun. Pada mulanya ranjau-ranjau ini adalah jenis "contact mines" dimana ia perlu dilanggar secara fizikal oleh kapal untuk meledak. Ranjau jenis ini dipasang dibawah permukaan laut supaya tidak kelihatan, dan ditambatkan ke dasar laut. Kedalamannya boleh ditentukan mengikut saiz kapal yang disasarkan, umpamanya kapal pengangkut pesawat mempunyai "draught" yang dalam, jadi hanya kapal sebesar ini sahaja yang akan melanggar ranjau tersebut. Taktik ini dapat menjimatkan kos kerana ranjau tidak akan dilanggar oleh kapal-kapal kecil yang kurang bernilai. Pada awal Perang Dunia ke-2, ranjau yang terapung dan boleh disebarkan dengan pesawat udara telah diperkenalkan. Ranjau-ranjau jenis ini digunakan untuk disebarkan ke pelabuhan musuh. Disebabkan usaha pembersihan ranjau memakan masa, pelabuhan-pelabuhan terpaksa ditutup dan membuatkan kapal-kapal tentera laut gagal keluar beroperasi.

Jenis-jenis ranjau laut dan cara penggunaan

Ranjau laut boleh disebarkan dengan menggunakan kapal, kapal selam, pesawat udara atau juga orang perseorangan. Kerana faktor fleksibiliti dan kos ia merupakan senjata pilihan, sama konsepnya seperti pemasangan jerangkap samar atau periuk api didaratan. Sebagai contoh, kos untuk memusnahkan ranjau laut ini hampir 10 kali ganda dari kos penyebaran atau pemasangannya. Sehingga kini, beberapa kawasan ranjau laut semasa Perang Dunia ke-2 masih lagi tidak dineutralkan atas sebab keluasan dan kos yang tinggi. Besar kemungkinan ranjau-ranjau laut ini ada lagi yang masih aktif. Pasukan anti-ranjau laut, tentera laut Jepun (IJN - Imperial Japanese Navy), memiliki 350 kapal dan 20,000 anggota pada ketika itu, tapi hanya mampu membersihkan 15% daripada ranjau-ranjau yang disebarkan oleh Amerika di perairan Jepun. Setelah tamat perang, masih terdapat 25,000 ranjau yang aktif. Usaha pembersihan diteruskan sehingga bulan May 1946, dengan baki 13,000 ranjau tidak terusik. Ia mengambil masa 30 tahun untuk meneutralkan baki ranjau-ranjau tersebut dengan 500 kapal pemusnah ranjau dirosakkan atau karam.

Rajau laut berselindung disebalik barel-barel sebelum dilepaskan kelaut.

USS Samuel B. Roberts FFG-58 dari kelas Oliver Hazard Perry rosak terkena ranjau laut milik Iran.

Pada tahun 1988, USS Samuel B. Roberts (link) semasa didalam Operasi Praying Mantis, telah mengalami kerosakan setelah melanggar ranjau laut jenis M-08 yang membentuk lubang seluas 5 meter pada lambung kapal. Krew mengambil masa selama 5 jam untuk melawan kebakaran dan kebocoran dan seramai 10 krew telah mengalami kecederaan. Pada 27 Jun 1988, kapal ini dibawa pulang ke Newport dan kerja baik pulih mengambil masa selama 3 minggu dengan kos hampir USD 90 juta. Ranjau laut yang merosakkan USS Samuel B. Johnson dianggrkan berharga USD 1,500 sahaja.

Kapal penyapu ranjau digunakan untuk meneutralkan ancaman ranjau-ranjau laut. Kapal-kapal ini dilengkapi dengan peralatan penyapu mekanikal (mechanical sweeper) dan penyapu aruhan (influence sweeper) untuk meledakkan ranjau laut. Ia direka supaya kedap suara untuk mengurangkan jejak akustik dan lambung kapal (hull) diperbuat dari kayu atau plastik yang diperkuat dengan kaca (Glass Reinforced Plastic) atau logam selain besi bagi mengurangkan kesan jejak magnetik (degaussed). Penyapu mekanikal digunakan untuk memotong kabel yang menambat ranjau ke dasar laut, manakala penyapu aruhan adalah alat yang meniru jejak akustik atau mekanis kapal-kapal tertentu, sehingga menyebabkan ranjau tersebut meledak.


Kapal penyapu ranjau kelas Lerici (Itali) dan bawah, kapal yang sama kelas Huon (Australia)



Pada era 1990an, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memiliki skuadron pemburu dan penyapu ranjau laut yang tercanggih di Asia Tenggara. Skuadron Kapal Penyapu Ranjau ke-26 memiliki 4 buah kapal MCMV (mine counter measure vessel) kelas Lerici (link) yang dinamakan KD Mahamiru (nombor pennant 11), KD Jerai (12), KD Ledang (13) dan KD Kinabalu (14). Kapal-kapal ini telah ditempah dari firma Intermarine SpA, Itali pada 20 Feb 1981, ditauliahkan pada 11 Dis 1985 dan tiba di Malaysia pada 26 Mar 1986.







Tentera Laut Diraja Thai juga ada menggunakan 2 buah sub-kelas kapal ini, dengan spesefikasi yang berbeza (saiz kapal, senjata dan sonar yang berbeza) dari TLDM, dan dinamakan HTMS Lat Ya dan HTMS Tha Din Daeng. Pada mulanya 8 buah telah ditempah pada 1996, tetapi baki 6 buah telah dibatalkan pada tahun 1999.

Lain-lain pengguna adalah:

  • Itali (12 buah kelas Lerici dan sub-kelas Gaeta), 
  • Nigeria (2 buah kelas Ohue), 
  • USA (12 buah kelas Osprey), 
  • Australia (6 buah kelas Huon), 
  • Finland (3 buah kelas Katanpaa).