Tuesday 5 May 2015

Turkish Navy frigate TCG Gediz (F 495) at Port Klang, Malaysia

Kapal friget Ertugrul (link) milik tentera laut Turki Ottoman memulakan pelayaran dari Konstantinopel ke Jepun pada 14 Julai 1889. Kapal ini direncanakan akan melalui Marmaris, kemudian menyelusuri Terusan Suez, melawat Aden (Yaman) dan Somalia sebelum berhenti di Riyadh. Perjalanan diteruskan hingga ke Pondicherry dan Calcutta (India), melalui Selat Melaka dan terus ke Saigon.

Ertugrul juga singgah di Hong Kong dan Shanghai, sebelum destinasi terakhir di Yokohama, Jepun.  Kapal ini tiba di Yokohama pada 7 June 1890 selepas mengharungi pelayaran selama 11 bulan. Semasa dalam pelayaran, kapal ini mengalami dua kali kerosakan, dan dibaiki semasa berada di Terusan Suez dan Singapura.


Foto sumber Wikipedia



Semasa di Jepun, mereka diberi sambutan hangat oleh Maharaja Meiji dan Putera Yoshihito Haru. Mereka berada di Jepun selama tiga bulan. Ertugrul meninggalkan Yokohama pada 15 September 1890, dan dilanda ribut pada keesokkannya. Kira-kira 533 pegawai dan anak kapal terkorban, termasuklah Laksamana Ali Osman Pasha. Hanya enam pegawai dan 63 pelaut terselamat, dan mereka dihantar pulang ke Konstantinopel oleh dua buah kapal tentera laut Jepun, Kongo dan Hiei pada Oktober 1890.

Bagi memperingati ulangtahun ke-125 pelayaran bersejarah ini, TCG Gediz (F-495) (link) melakukan pelayaran ke Jepun yang akan mengambil masa selama empat bulan. Disamping itu, ia akan melawat 14 buah negara. Pelayaran bermula 1 April 2015 hingga 31 Julai 2015. TCG Gediz diketuai oleh Commander Yusuf Kocaman membawa bersama 216 pegawai dan anak kapal. Ia akan berlabuh di Boustead Cruise Center, Pelabuhan Kelang dari 3 Mei 2015 hingga 5 Mei 2015.

TCG Gediz adalah sebuah kapal bekas tentera laut Amerika. Kapal ini ditauliah sebagai USS John Anderson Moore (FFG-19) dari tahun 1981 hingga 2000, sebelum diserahkan kepada tentera laut Turki, dan ditauliahkan sebagai TCG Gediz (F 495). Ia dinamakan sempena nama Sungai Gediz di Turki.

Kapal ini adalah dari kelas Oliver Hazard Perry (link) buatan Amerika Syarikat, dan dikenali sebagai Kelas G (Gabya) dalam perkhidmatan tentera laut Turki.  Terdapat lapan buah kapal dalam kelas ini:
  • F 490 TCG Gaziantep (ex-USS Clifton Sprague FFG-16)
  • F 491 TCG Giresun (ex-USS Antrim FFG-20)
  • F 492 TCG Gemlik (ex-USS Flatley FFG-21)
  • F 493 TCG Gelibolu (ex-USS Reid FFG-30)
  • F 494 TCG Gokceada (ex-USS Mahlon S. Tisdale FFG-27)
  • F 495 TCG Gediz (ex-USS John A. Moore FFG-19)
  • F 496 TCG Gokova (ex-USS Samuel Eliot Morison FFG-13)
  • F 497 TCG Goksu (ex-USS Estocin FFG-15)
Kesemua 8 buah kapal ini telah menjalani modernisasi termasuk pemasangan sistem pengurusan tempur digital GENESIS yang direka oleh firma-firma Turki. Kapal pertama yang telah dipertingkat dengan GENESIS ini siap pada tahun 2007 dan yang terakhir siap pada tahun 2011. Selain itu, program modernisasi juga melibatkan penambahan ESSM (Evolved Sea Sparrow Missile), pemasangan radar baru dan sonar jarak jauh. Modifikasi juga dilakukan bagi membolehkan kapal ini membawa helicopter S-70B Seahawk.

FFG 7 Oliver Hazard Perry (www.usmilitaryart.com)

Modernisasi oleh Australia (Kelas Adeilade) - www.defenseindustrydaily.com

Sebanyak 71 buah kapal dari kelas Oliver Hazard Perry telah dibina antara tahun 1975 hingga 2004 dan digunakan oleh sembilan Negara berikut – USA, Australia, Bahrain, Taiwan, Mesir, Pakistan, Poland, Sepanyol dan Turki.


TCG Gediz di Port Klang

Majlis resepsi yang diadakan turut dihadiri oleh Duta Turki ke Malaysia, Basak Turkoglu, Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Dato' Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman bin Ahmad Badaruddin dan para atase pertahanan.