Wednesday 12 August 2015

Serangan ke atas Balai Polis Kuala Krau

Peristiwa serangan oleh pengganas komunis ke atas Balai Polis Kuala Krau yang berlaku pada 26 Jun 1948, dilakonkan semula dalam sebuah pantomen yang dipersembahkan semasa sambutan Hari Pahlawan 2015, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Julai 2015.

Anak kepada salah seorang anggota polis di dalam peristiwa itu, Osman bin Mohd Yusof, yang kini berusia 72 tahun menceritakan, beliau masih ingat peristiwa tersebut yang mengorbankan ibunya. Pada ketika itu beliau baru berusia 3 tahun. Menurutnya, ketika sedang makan malam bersama keluarga, mereka terdengar bunyi tembak menembak datangnya dari arah balai polis. Tanpa berlengah, ayahnya mencapai senjata Bren Gun bergegas menuju ke balai. Ibunya, Mahani Konel, yang sarat mengandung ketika itu segera sembunyikan Osman dan abangnya sambil menyuruh mereka diam.

Suasana ketika itu sangat tegang, berdasarkan jumlah tembakan yang didengar, pengganas komunis datang dalam jumlah yang besar. Menyedari anggota polis kekurangan anggota, ibunya lantas mencapai senapang dan cuba mencari Mohd Yusof. Malangnya semasa dalam perjalanan ke balai, ibunya terserempak dengan pengganas komunis lalu ditembak. Setelah menunggu seketika, Osman bercadang mencari ibunya yang tidak pulang dan menemui mayat ibunya yang berlumuran darah.








Setelah melakukan beberapa semakan atas tragedi ini, saya juga menjumpai satu lagi cerita serangan ke atas balai ini yang berlaku pada 11 September 1949 (sumber Facebook PDRM Kedah). Kali ini seramai 250 pengganas komunis mengepung balai yang berkekuatan 30 anggota polis. Serangan kali ini mengorbankan seorang anggota polis bernama Hamzah. Beliau terbunuh sehari sebelum bercuti untuk pulang ke kampungnya di Kuala Krai, Kelantan untuk melangsungkan majlis perkahwinannya.

Serangan itu berlanjutan selama 2 jam dan komunis berundur ketika azan subuh. Sebelum serangan itu, komunis telah menutup jalan utama di pekan bagi menyekat perhubungan balai dengan pihak luar. Mereka turut menyerang dan menterbalikkan keretapi yang membawa anggota polis yang cuba memberikan bantuan, kerana telah menjangka bantuan dari Balai Polis Mentakab di Tanjong Kubu akan tiba melalui jalan keretapi. Sebelum itu, pengganas komunis turut membunuh seorang isteri anggota polis yang sedang hamil lima bulan.

Berbalik kepada sambutan Hari Pahlawan 2015, selain, pementasan kisah serangan ke atas Balai Polis Kuala Krau, sebuah lagi persembahan adalah berkaitan Allahyarham ASP Mohd Zabri Abdul Hamid, pegawai platun Komando 69 yang terkorban semasa Operasi Bamboo II di Sungai Siput pada tahun 1975.

                                        Lain-lain gambar semasa sambutan Hari Pahlawan