Wednesday 28 September 2016

KM Jarak 3134 (ex KD Badek 37) Meneruskan Khidmat Sebagai Peranti Pemuliharaan Biodiversiti di Dasar Laut


Bagi menguatkan pertahanan perairan negara, lebih-lebih lagi selepas berlakunya Konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia, kerajaan telah menempah beberapa buah kapal peronda untuk kegunaan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dari firma Vosper Limited, England pada tahun 1965. KD BADEK adalah kapal peronda dalam kelas KRIS yang membentuk Skuadron Kapal Peronda Ke-14. 


KD Badek


Kapal-kapal dalam kelas KRIS ini mempunyai berat/sesaran 96 tan, panjang 31.4 meter, lebar 6 meter. Ia dilengkapi dengan persenjataan 2 x meriam 40/70mm Bofors dan juga mesingan GPMG. Dengan 2 buah enjin jenis MTU MD 655/18, ia boleh mencapai kelajuan sehingga 27 knot.

KD Badek telah ditauliahkan pada 15 Disember 1966 dan ditempatkan di Tanjung Gelang, Pahang. Antara kapal lain dalam kelas yang sama dengan KD BADEK (no. pennant 37) adalah KD KRIS (34), KD SUNDANG (36), KD RENCHONG (38), KD TOMBAK (39), KD LEMBING (40), KD SERAMPANG (41), KD PANAH (42), KD KERAMBIT (43), KD BELADAU (44), KD KELEWANG (45), KD RENTAKA (46) dan KD SRI SARAWAK (3145).

Sempena Hari TLDM yang ke-65 pada tahun 1999, KD Badek telah memenangi Piala Agong semasa berada di bawah Pegawai Memerintah Leftenan Komander Mohan a/l Ayappan. Piala ini yang diperkenalkan pada tahun 1979 oleh Yang di-Pertuan Agong, dianugerahkan kepada kapal yang mencapai dan mengekalkan tahap operasi yang cemerlang. KD Badek telah beroperasi di laut selama 3,672 jam dengan jarak perjalanan sejauh 150,594 batu nautika untuk mengawal keselamatan perairan negara, selain menyertai latihan-latihan ketenteraan (link).  

KD Badek telah di lucut tauliah dari perkhidmatan TLDM pada 1 Ogos 2005, setelah berkhidmat selama kira-kira 38 tahun 7 bulan bersama TLDM. Kesemua kapal-kapal dari kelas ini telah berkhidmat hampir 40 tahun sebelum dilucutkan tauliah. KD Lembing, sebagai contoh telah berkhidmat selama 39 tahun 2 bulan dan di lucut tauliah pada 23 Jun 2006. Sepanjang tempoh ini, KD Lembing telah diperintah oleh 25 orang Pegawai Memerintah, sesungguhnya ia satu tempoh yang lama bagi kapal-kapal dari Skuadron Kapal Peronda ke-14 ini berbakti yang juga menunjukkan keupayaan senggaraan yang baik oleh TLDM.

Pembelian aset-aset baru dan perlaksanaan program Service Life Extension Program (SLEP) oleh TLDM telah membolehkan TLDM menyerahkan sebahagian aset-asetnya yang lebih kecil kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bersesuaian dengan peranan APMM sebagai satu pasukan pengawal pantai. Penyerahan Fasa Pertama dilakukan pada bulan Ogos 2005 yang melibatkan enam buah kapal (KD Kris, KD Sri Sarawak, KD Badek, KD Kelewang, KD Sundang dan KD Panah) kepada APMM. Penyerahan Fasa ke-2 pula dilakukan pada bulan Januari 2006 yang melibatkan lagi tujuh buah kapal (KD Kerambit, KD Renchong, KD Rentaka, KD Sri Sabah, KD Tombak, KD Beladau dan KD Negeri Sembilan) (link).

KD Badek kemudiannya meneruskan perkhidmatannya di dalam APMM dan dikenali dengan nama KM (Kapal Maritim) JARAK. KM Jarak telah diletakkan dibawah pentadbiran Daerah Maritim ke-9 (DM 9), berpangkalan di Kuala Terengganu. DM 9 ketika itu berkekuatan 90 kakitangan termasuk 5 pegawai dan dilengkapi dengan kapal dan bot KM Jarak, KM Segantang, Bot Kilat 737, Bot Kilat 712 dan Bot Pelindung Satu. Kerana kos selenggaraan yang semakin meningkat, dan kondisinya semakin usang, KM Jarak telah dihadiahkan kepada Jabatan Taman Laut pada bulan Ogos 2014 untuk dijadikan tukun tiruan (link). 




KM Jarak (3134) telah secara rasminya menamatkan perkhidmatan dengan APMM pada 11 November 2014 setelah ditenggelamkan dengan selamatnya diperairan Pulau Redang. KM Jarak meneruskan baktinya di dasar laut sebagai Peranti Pemuliharaan Biodiversiti oleh Jabatan Taman Laut dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan menjadi daya tarikan baru kepada penyelam scuba disamping menjadi habitat hidupan marin (link).


Pada 23 September 2016, sekumpulan penyelam rekreasi dari Kelab Peminat Sejarah Malaysia (KPSM) telah melakukan selaman kira-kira 40 minit di lokasi tenggelamnya KM Jarak. Ia terletak pada kedalaman 17 meter. Keadaan cuaca pada hari itu sangat baik, tiada arus dan jarak penglihatan adalah kira-kira 10 meter. Kami dapati keadaan kapal masih baik lagi, nombor penant 3134 dan tulisan Maritim Malaysia masih jelas kerana ia masih baru lagi untuk dijadikan habitat oleh hidupan marin. 

Foto oleh Nadia M.M.

Foto oleh Nadia M.M.






















Monday 26 September 2016

Wawancara bersama Ketua Pengarah APMM

Wawancara bersama Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato’ Sri Hj Ahmad Puzi bin Hj Ab Kahar pada 9 September 2016.



Terima kasih kepada Dato’ Sri kerana sudi meluangkan masa untuk bersama dengan pihak kami dalam sesi temubual ini.  Bolehkah Dato’ Sri terangkan dengan lebih jelas sedikit sebanyak latarbelakang peribadi Dato’ Sri sehingga Dato’ Sri  menjawat jawatan numbor satu dalam pasukan.

Laksamana Maritim Dato’ Sri Hj Ahmad Puzi bin Hj Ab Kahar dilahirkan pada 28 Mei 1956 di Batu Pahat, Johor. Beliau  mendapat pendidikan awal di Batu Pahat, Johor. Laksamana Maritim Dato’ Sri Hj Ahmad Puzi menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 4 Jun 1976 dan telah menjalani latihan kadet asas Pegawai TLDM di Pusat Latihan, Singapura. Beliau kemudiannya ditauliahkan sebagai Pemangku Leftenan Muda pada 1 Januari 1978.  

Sepanjang tempoh 29 tahun 5 bulan kerjaya beliau di dalam Tentera Laut Diraja Malaysia, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk pegawai memerintah dan pegawai laksana. Beliau telah dilantik sebagai Pegawai Pemerintah KD Jerong (Fast Patrol Craft) dan KD RAJA Jarom (Landing Ship Tank). Beliau telah banyak menyumbang untuk menjaga kepentingan negara dalam keadaan selamat. Beliau mengambil bahagian dalam pelbagai Operasi;  Nyah Laut Bersepadu, Patkor Optima, Terumbu dan Operasi Pasir di Sabah. Beliau juga terlibat dalam Operasi Seri Petaling pada tahun 1998 dalam menzahirkan pemilikan Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau di Laut China Selatan. Semasa beliau berpangkat Lt Kdr, beliau telah terpilih sebagai jurulatih HMAS WATSON di Sydney, Australia di bawah program pertukaran pegawai Malaysia dan Australia. Beliau juga dilantik sebagai penasihat keselamatan pelajar Malaysia di Malaysian Student Department di Sydney Australia.

Pada tahun 2005 beliau telah menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). Dengan pengetahuan dan pengalaman yang luas, ianya dapat menyumbang untuk menerajui agensi  maritim yang baru diwujudkan ini. Pelantikan pertamanya di Maritim Malaysia adalah sebagai Pengarah, Bahagian Latihan Penguatkuasaan dan kemudiannya dilantik sebagai Komander Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan labuan pada tahun 2006. Kerajaan Negeri Sabah telah memberikan "Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 di atas pelbagai sumbangan beliau sepanjang berkhidmat di Sabah.  Kemudian beliau telah dilantik sebagai Pengarah, Cawangan Siasatan Jenayah Maritim di Ibu Pejabat Maritim Malaysia. Semasa di cawangan ini, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis bagi Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran. Pada 1 Feb 2011 beliau telah dinaikkan ke pangkat Laksamana Madya dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi).

Laksamana Maritim Dato’ Sri Hj Ahmad Puzi memiliki Ijazah Sarjana dalam Kajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga merupakan Alumni Chevening United Kingdom dan Asia Pacific Centre Security, Honolulu Hawaii (APCSS). Beliau mengambil bahagian dalam pelbagai forum dan seminar dan telah membentangkan pelbagai kertas kerja di dalam dan luar negara mengenai topik Strategi Pertahanan, Anti-Piracy, Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran dan lain-lain yang berkaitan dengan keselamatan dan terutamanya keselamatan maritim. Terkini pada 17 Ogos 2016, beliau telah mendapat pengiktirafan serta dilantik sebagai Penyedia Perkhidmatan Tunggal Cospas – Sarsat di Malaysia oleh Menteri Luar Negara.

Laksamana Maritim Dato’ Sri Hj Ahmad Puzi minat membaca, melancong, perbincangan mengenai hubungan antarabangsa dan isu-isu sosio-ekonomi. Beliau mendirikan rumahtangganya bersama Datin Sri Razana binti Ahmad Fauzi dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Laksamana Maritim Dato’ Sri Hj Ahmad Puzi bin Hj Ab Kahar kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pengarah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perdana Menteri pada 9 September 2015 hingga kini.



Boleh Dato’ Sri kongsikan sejarah penubuhan dan latar belakang Maritim Malaysia.

APMM ditubuhkan setelah satu kajian dijalankan oleh kerajaan pada April 1999. Hasil kajian itu menunjukkan penguatkuasaan berkaitan maritim tidak begitu berkesan kerana terlalu banyak agensi yang terlibat. Hal ini mengakibatkan pertindihan dari segi fungsi dan bidang tanggungjawab serta penggunaan sumber secara tidak ekonomik.

Maritim Malaysia ditubuhkan dengan penubuhan satu Tim Nukleus yang ditugaskan untuk menjalankan segala usaha yang perlu bagi mewujudkan agensi ini. Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 (Akta 633) telah diwartakan pada 1 Julai 2004 dan telah dikuatkuasakan pada 15 Februari 2005. Y.A.B. dato' Sri Mohd Najib bin Tun Razak , Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Majlis Memperkenalkan Maritim Malaysia pada 10 Oktober 2005. Maritim Malaysia telah memulakan operasi pada 30 November 2005. Majlis Pelancaran Rasmi Maritim Malaysia telah diadakan pada 21 Mac 2006 yang juga disempurnakan oleh Y. A. B. Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

                             



Apakah Visi dan Misi Maritim Malaysia bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan  perairan adalah terjamin.

VISI

“Menjadi antara agensi penguatkuasaan Maritim yang terbaik di dunia”

MISI

“Menguatkuasakan undang-undang serta menyelamat nyawa dan harta benda di laut bagi memastikan kesejahteraan perairan negara”



Bolehkah Dato’ Sri ceritakan kepada kami, cabaran-cabaran yang Dato’ Sri  terpaksa lalui dalam menerajui sepanjang perkhidmatan Dato’ Sri  bersama Maritim Malaysia.  Kami pasti Dato’ Sri mesti lalui banyak cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi terutama melibatkan penguatkuasaan undang-undang di bawah bidang kuasa Dato’ Sri .

Sejak Maritim Malaysia diwujudkan, kami berdepan dengan pelbagai cabaran, ternyata walau apa pun ranjau dan rintangan yang diharu­ngi, Maritim Malaysia berjaya keluar daripada segala cabaran kepayahan yang dialami dengan mencipta penyelesaian demi penyelesaian menurut acuan tersendiri.

Dalam tempoh ini kita banyak membuat ketetapan berkisarkan usaha penambahbaikan secara berperingkat, sesuai dengan ke­adaan semasa Maritim Malaysia yang sedang mengimplimentasikan beberapa strategi dan pelan tindak yang proaktif, supaya cara operasi, mengurus, cara berfikir dan bertindak menjadi lebih berkesan.

Idea-idea dicetuskan bagi mewujudkan dasar-dasar yang jelas dan terarah bagi membolehkan jentera Maritim Malaysia untuk terus bergerak cepat dan maju. Untuk itu Maritim Malaysia menggariskan hala tuju melalui Pelan Perancangan Strategik 2040 yang komprehensif. Apabila negara kita digelar negara maju pada 2020, kita perlu menjadi agensi pengawal pantai terbaik dalam kalangan negara Asia. Pada 2040 pula kita me­nyasarkan untuk menjadi agensi pengawal pantai terbaik di dunia. Visi ini hanya boleh dicapai de­ngan bajet mencukupi untuk pemba­ngunan yang telah dirancangkan di samping memiliki warga yang komited mencapai visi dan misi agensi. Antara cabaran Maritim Malaysia ialah:

- Aset Usang : Menghadapi situasi beroperasi dengan lebih kurang 50 peratus aset yang usang. Bagaimanapun situasi ini ditangani dengan pendekatan penyelenggaraan tempoh perkhidmatan dengan bijak (SLEP) dan telah berjaya mengatasi masalah kekangan kapal-kapal peronda supaya Maritim Malaysia sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk melancarkan operasi rutin dan operasi khas sementara menunggu perolehan aset-aset baharu.

- Kekurangan Sumber Manusia :  Pada masa ini, kekuatan anggota Maritim Malaysia masih di bawah paras iaitu kekurangan kira-kira 40 peratus. Kekuatan keseluruhan yang diperlukan ialah 11,000 yang dijang­ka dicapai menjelang tahun 2020.

- Kemajuan Teknologi : Semakin maju sesebuah negara itu, maka jenis-jenis perlakuan je­nayah semakin canggih. Pada masa kini, banyak peralatan canggih boleh didapati secara mudah di pasaran tempatan dan di pasaran gelap. Peralatan yang dimaksudkan termasuklah global positioning systems, electronic chart navigation systems, radar, enjin berkuasa tinggi, senjata dan kelengkapan untuk melakukan jenayah. Peralatan yang dinyatakan tersebut bukan sahaja mudah didapati bahkan mampu di beli dengan harga murah. Jus­teru, kita perlu memiliki peralatan dan aset yang lebih canggih supaya dapat menumpaskan kegiatan jenayah dengan lebih berkesan.

Maritim Malaysia juga terus memperkemaskan struktur organisasi, konsep operasi dan pengurusan risiko untuk memperkasakan pe­nguatkuasaan supaya Zon Maritim Malaysia sentiasa aman dan terkawal daripada sebarang ancaman, perlakuan jenayah dan kehilangan nyawa dan harta benda di laut.

Maritim Malaysia sekarang ini sedang mempergiatkan aktiviti pemantauan dan  pengawasan dengan menambahkan kehadiran aset terutama di kawasan yang           sering dicerobohi bagi menentukan keselamatan nelayan tempatan dan harta benda negara terjamin. Tindakan-tindakan lain yang dilaksanakan adalah:

·        Mempertingkatkan kerjasama dan mengadakan operasi bersepadu dengan lebih kerap bersama agensi-agensi penguatkuasaan maritim yang lain bertujuan mengoptimumkan pengawasan dan pemantauan ZMM. 

·        Mempertingkatkan keupayaan pengoperasian rangkaian radar di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia bagi pengawasan perairan Selat Melaka yang lebih berkesan.

·        Memantapkan dan meluaskan rangkaian perisikan agar dapat membendung kejadian yang menyalahi undang-undang maritim dengan lebih berkesan.

·        Merancang untuk mendapatkan perkhidmatan pengawasan dari udara menggunakan pesawat sayap kaku dan helikopter yang dapat meliputi ZMM yang luas.

·        Meningkatkan keyakinan nelayan tempatan dengan mengadakan dialog/perjumpaan dari masa ke masa.



Boleh Dato’ Sri  kongsikan bersama-sama kami, sejarah pemilikan asset-aset yang dimiliki oleh Maritim Malaysia.

Pada 11 Februari 2011, YAB Timbalan Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif Bil.1/2011 dan membuat keputusan supaya hasrat Kerajaan untuk menjadikan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan maritim tunggal dapat dilaksanakan. Justeru, agensi-agensi maritim yang terlibat seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan aset-aset dan prasarana iaitu vesel, premis dan jeti kepada Maritim Malaysia untuk pelaksanaan fungsi penguatkuasaan di laut. Keputusan Kerajaan ini memberikan impak besar terhadap penjimatan ekonomi negara selain daripada pertindihan fungsi sedia ada.



Terima kasih Dato’ Sri , di atas penjelasan Dato’ Sri  tadi.  Saya pasti terdapat banyak bahagian-bahagian di bawah pentadbiran Maritim Malaysia. Bolehkah Dato’ Sri  jelaskan dengan lebih lanjut Maritim Malaysia terbahagi kepada  berapa bahagian ataupun jabatan.

Untuk makluman, Maritim Malaysia di bahagikan kepada 3 bahagian yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah bagi setiap bahagian. 3 bahagian tersebut iaitu Bahagian Operasi, Bahagian Logistik dan Bahagian Pengurusan. Ketiga-tiga bahagian ini dipecahkan kepada cawangan, unit, seksyen di peringkat ibu pejabat, wilayah, daerah dan pangkalan.

Maritim Malaysia bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang tetapi juga berkuasa melakukan pendakwaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang maritim. Bagi memudahkan kawalan dan pemantauan, kawasan maritim di Malaysia dibahagikan kepada lima wilayah dan setiap satu mengandungi tiga hingga lima daerah maritim.



Terima kasih Dato’ Sri , boleh Dato’ Sri  beritahu berapa jumlah aset yang telah pihak Maritim Malaysia terima daripada TLDM & Pasukan Gerakan Marin Polis yang masih beroperasi.

Ya, kita ada menerima aset daripada TLDM dan PDRM. Untuk makluman terdapat 48 buah kapal yang Maritim Malaysia terima daripada PDRM iaitu 15 buah (Kelas Gagah yang berusia 34 tahun), 9 buah (Kelas Gemia berusia 34 tahun), 9 buah (PX Wooden Hull yang berusia 47 tahun) dan 15 buah (Kelas Tugau yang berusia 14 tahun). Untuk makluman, 9 buah kapal PX Wooden Hull telah dilupuskan kerana usianya mencapai 47 tahun (tahun dibina 1969) dan 39 buah lagi masih beroperasi.

Manakala Maritim Malaysia telah menerima 17 buah kapal daripada TLDM yang mana 2 buah daripada kelas OPV dan 15 buah daripada kapal kelas PC. Untuk makluman, 15 buah kapal kelas PC telah dilupuskan secara berperingkat kerana usianya mencapai 52 tahun (tahun dibina 1964) manakala 2 buah OPV lagi masih beroperasi.
 
Sehingga hari ini, Maritim Malaysia telah melupuskan lima belas (15) buah kapal kelas PC yang telah berusia melebihi lima puluh (50) tahun dan Sembilan (9) buah kapal PX-kayu yang telah berusia melebihi tiga puluh lima (35) tahun secara berperingkat.



Apakah tugas-tugas dan peranan kapal-kapal Maritim Malaysia, adakah berlaku isu pertindihan peranan dan fungsi ini timbul dengan TLDM & PDRM?

Untuk makluman, Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penubuhan pasukan pengawal pantai yang bersepadu iaitu Maritim Malaysia, melalui proses penggabungan agensi-agensi penguat kuasa maritim sedia ada seperti PPM, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Imigeresen, Jabatan Alam Sekitar, TLDM, TUDM pada 21 Ogos 2002. Seharusnya, kewujudan Maritim Malaysia adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam pemusatan kawalan dan fungsi tugas menjaga perairan negara. Maritim Malaysia bersetuju dengan keputusan-keputusan jemaah menteri sebelum ini supaya tidak ada pertindihan tugasan Maritim Malaysia dengan agensi-agensi lain hendaklah dikekalkan. Justeru, pengwujudan Maritim Malaysia sebagai Agensi tunggal yang menguatkuasakan undang-undang di laut jelas tidak menimbulkan isu pertindihan peranan dan fungsi dengan TLDM dan PDRM.

Penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bidang kuasanya adalah seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Malaysia Akta 633, iaitu Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004. Akta ini memberi kuasa kepada Maritim Malaysia untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga melaksanakan tugas mencari dan menyelamat maritim, mencegah dan menyekat pelakuan kesalahan dan menjalankan pengawasan udara dan pantai. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga diberi kuasa membuat penyiasatan, menangkap dan mendakwa setiap pesalah di bawah Akta tersebut.

Tugas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berbeza dengan Polis Marin, Tentera Laut Di Raja Malaysia dan agensi keselamatan yang lain, di mana Maritim Malaysia mempunyai kuasa penguatkuasaan yang lebih luas, iaitu bermula dari laut pendalaman (tepi pantai) sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif dan Pelantar Benua. Dalam aspek mencari dan menyelamat, pencegahan pencemaran maritim, pencegahan pelanunan dan pencegahan/pengedaran haram dadah narkotik Maritim Malaysia mempunyai kuasa sehingga ke laut lepas.


Kawasan Operasi Maritim Malaysia dan Polis Marin (PGM)

Berdasarkan kepada peruntukan di dalam Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004, kawasan operasi bagi Maritim Malaysia adalah Zon Maritim Malaysia, ertinya perairan pendalaman, laut wilayah, pelantar benua, zon ekonomi eksklusif dan perairan perikanan Malaysia termasuk ruang udara di Zon itu. Dalam erti kata lain kawasan operasi Maritim Malaysia meliputi sejauh 200 batu nautika, iaitu bermula dari laut pendalaman (tepi pantai) sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif dan Pelantar Benua. Justeru, melalui keputusan Mesyuarat Green Room Bilangan 1/2011 yang diadakan pada 15 April 2011 memutuskan bahawa bidang kuasa Polis Marin menguatkuasakan undang-undang di kawasan sungai, tasik, pulau dan pelabuhan sahaja manakala Akta Polis menetapkan PGM mempunyai kuasa sehingga 12 batu nautika.



Boleh Dato’ Sri  kongsikan bersama kami berkenaan aset ex KD Sarawak/KM Sipadan, sejarah pemilikan kapal, peranan dan tugas kapal ini semasa di bawah Maritim Malaysia, dan tugas terakhirnya bersama Maritim Malaysia.

Untuk rekod KM Sipadan adalah dari kelas Sipadan dan dahulunya dikenali sebagai KD Sarawak  yang berusia 48 tahun ini telah dibina oleh Vosper Engineering, United Kingdom dan telah digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM ) sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia pada tahun 2005. Sepanjang tempoh tujuh ( 7 ) tahun beroperasi, KM Sipadan telah banyak berjasa dalam mengawal ketenteraman dan keselamatan disamping melaksanakan undang-undang di perairan Kuantan, Pahang. Semasa KM SIPADAN diserahkan kepada Maritim Malaysia, kapal tersebut telah ditempatkan di Wilayah Maritim Timur di Kuantan Pahang. KM SIPADAN telah lupuskan pada 28 Mac 2012 lebih kurang antara jam 10.00 pagi sehingga 12.30 tengahari di perairan Pulau Tioman dan disaksikan sendiri oleh YB ADUN Tioman. Penenggelaman kapal tersebut berusia 48 tahun dan kedudukan kapal tersebut amat baik dan jatuh secara menegak sepenuhnya.



Dimanakah KM Sipadan ini mengakhiri perkhidmatannya bersama Maritim Malaysia?

Penempatan terakhir KM SIPADAN bersama Maritim Malaysia adalah di Kuantan, Pahang.



Boleh Dato’ Sri  kongsikan bersama pihak kami, bagaimanakah aset ini dilupuskan dan kenapa ianya dilupuskan dari perkhidmatan?

Pelupusan tertakhluk kepada Tatacara Pelupusan Aset. Kaedah pelupusan Maritim Malaysia menggunakan lelongan, hadiahkan kepada Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) dan ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan.

Untuk makluman, hampir keseluruhan aset yang diserahkan oleh Agensi lain kepada Maritim Malaysia telah berusia. Justeru, faktor jangka hayat usia mempengaruhi pengoperasian sesebuah kapal. lima belas (15) buah kapal kelas PC yang telah berusia melebihi lima puluh (50) tahun dan Sembilan (9) buah kapal PX-Kayu yang telah berusia melebihi tiga puluh lima (35) tahun dilupuskan secara berperingkat kerana faktor usia ini. Maritim Malaysia tidak akan merisikokan keselamatan anggotanya kerana kapal yang melebihi usia perlu dilupuskan dan ditamatkan penggunaannya.




Berapakah jumlah aset yang telah dilupuskan dengan menggunakan kaedah seperti Dato’ Sri  terangkan tadi.

BIL
PTJ
NAMA KAPAL
NILAI PEROLEHAN ASAL
TARIKH KELULUSAN
TARIK PELUPUSAN
KAEDAH PELUPUSAN
1
DM 8
KM Sipadan
15,000,000.00
1/12/2012
28/3/12
Hadiah kepada JTLM pada 28/3/12
2
DM 2
KM Tuba (PX13)
1,000,000.00
11/6/2013
30/7/13
Hadiah kepada JTLM pada 30/7/13
3
DM 2
KM Rimau (PX2)
900,000.00
11/6/2013
30/7/13
Hadiah kepada JTLM pada 30/7/13
4
DM 6
KM Aur (PX25)
1,800,000.00
20/3/2013
30/7/13
Hadiah kepada JTLM pada 30/7/13
5
DM 6
KM Serimbun (PX8)
1,500,000.00
20/3/2013
30/7/13
Hadiah kepada JTLM pada 30/7/13
6
DM 15
KM Layang-Layang (PX17)
1,200,000.00
20/3/2013
20/6/13
Hadiah kepada JTLM pada 20/6/13
7
DM 15
KM Mantanani (PX 26)
1,200,000.00
20/3/2013
20/6/13
Hadiah kepada JTLM pada 20/6/13
8
DM 4
KM Sempadi
20,041,965.00
3 Okt 2014
19/8/14
Hadiah kepada JTLM untuk di tenggelamkan
9
DM14
KM Pemanggil
15,065,330.00
6 Mei 2014
19/8/14
Hadiah kepada JTLM untuk di tenggelamkan
10
DM 6
KM Bidong
20,041,965.00
6/11/2014
19/8/14
Hadiah kepada JTLM untuk di tenggelamkan
11
DM 1
KM Siamil
20,262,759.00
6/11/2014
19/8/14
Hadiah kepada JTLM untuk di tenggelamkan
12
DM 10
KM Ligitan
12,000,000.00
6/10/2014
19/8/14
Hadiah kepada JTLM untuk di tenggelamkan
13
DM 9
KM Jarak
12,000,000.00
6/10/2014
19/8/14
Hadiah kepada JTLM untuk di tenggelamkan





Lokasi penenggelaman Kapal Maritim Malaysia.

LOKASI PENENGGELAMAN KAPAL
1
Pulau Redang
Lat : 05°44.139 ’N,               Long : 103°01.374’
4
Pulau Rawa
Lat : 02°31.238’N,                               Long : 103°58.411’E
2
Pulau Perhentian
Lat : 05° 53.132’ N,             Long:102°45.483’E           
5
Pulau Payar
Lat : 060° 3.325’N,                          Long : 100° 2.088’E    
3
Pulau Rusukan Besar
Lat : 05°11.601’ N,             Long:115°08.892’E           
6
Pulau Tioman
Lat : 02° 49.800’N,                                   
Long : 104° 0.80’E





Senarai Kapal Maritim Malaysia yang bakal ditenggelamkan beserta lokasi cadangan pada tahun ini dan hadapan.

Bil
PTJ
Nama Kapal
Nilai Perolehan
Tarikh Kelulusan
Kaedah Pelupusan
Lokasi pelupusan
1
DM8
KM Lang
12,000,000.00
9/8/2016
Ditenggelamkan (Tukun Tiruan)
Pulau Perhentian
2
DM15
KM Kuraman
11,000,000.00
5/25/2015
Hadiah kepada Taman Laut Sabah
Pulau Manukan
3
DM2
KM Nyireh
9,229,374.00
7/1/2016
Hadiah kepada Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM)
Pulau Payar




Bagaimanakah pihak agensi Dato’ Sri  memastikan setiap aset yang telah dilupuskandipelihara, agar tidak berlaku kecurian apabila ianya sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem marin?

Untuk makluman, pelupusan tertakhluk kepada Tatacara Pelupusan Aset. Kaedah pelupusan Maritim Malaysia menggunakan lelongan, sebagai hadiah kepada Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) dan ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di kawasan yang telah digazetkan sebagai kawasan Taman Laut.

Oleh demikian, kesemua aset yang telah ditenggelamkan untuk menjadi tukun tiruan adalah di bawah tanggungjawab dan seliaan Jabatan Taman Laut untuk memastikan  kesemua tukun berada dalam keadaan baik.

Namun begitu, Maritim Malaysia selaku agensi penguatkuasaan maritim tunggal, sentiasa memastikan agar tidak berlaku sebarang kegiatan salah laku di ZMM dengan melaksanakan pemantauan dan rondaan secara berterusan.

Ini termasuklah penguatkuasaan terhadap aktiviti yang boleh merosakkan ekosistem marin / pencemaran laut seperti aktiviti nelayan secara haram, pembuangan sisa sampah dari kapal, pembuangan sisa minyak dan sebagainya.

Maklumat berkenaan kegiatan salah laku di ZMM dari pelbagai pihak adalah penting untuk Maritim Malaysia melaksanakan penguatkuasaan disamping rutin rondaan harian yang dilakukan. Sekiranya menerima laporan, Maritim Malaysia akan menyiasat. Sekiranya pelaku ditangkap dan didapati bersalah. Mereka akan didakwa mengikut akta-akta tertentu.



Apakah mesej dari Maritim Malaysia yang kami boleh bantu war-warkan kepada masyarakat awam?

Sebagai agensi penguatkuasaan di laut, agensi ini amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan pantas ke atas segala aspek yang menggugat keselamatan perairan negara. Ini termasuk ancaman jenayah mahupun sebarang kegiatan yang boleh merosakkan ekosistem perairan negara.

Penyertaan orang ramai sebagai sahabat maritim kepada agensi ini adalah satu pendekatan yang responsif terutamanya dalam mengekang sebarang perlakuan jenayah di perairan negara di samping menyelamatkan mereka yang mengalami kecemasan di laut. Orang ramai boleh menyalurkan  maklumat mereka kepada Maritim Malaysia dengan menghubungi talian 999 ataupun boleh menghubungi pusat operasi 24 jam Maritim Malaysia di seluruh negara.

Sekian.


Kami dari Kelab Peminat Sejarah Militer (KPSM) mengucapkan jutaan terima kasih, terutamanya kepada Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato’ Sri Hj Ahmad Puzi bin Hj Ab Kahar atas kesudian untuk diwawancara dan juga usaha Pengarah Unit Komunikasi Korporat APMM, Puan Faridah binti Shuib serta Pen. Pengarah Komunikasi & Korporat APMM, En. Zul Hafiq Abd Halim yang mengaturkan wawancara ini.