Tuesday 27 June 2017

Pengasas Pasukan Elit Selous Scouts Pernah Berkhidmat di Malaya

Lt. Col "Ron" Reid Daly (Ronald Reid - Daly) dilahirkan pada 22 September 1928 di Salisbury, selatan Rhodesia (kini Zimbabwe). Beliau menyertai kontinjen tentera Far East Volunteer Unit yang sepatutnya dihantar berkhidmat di Korea, tetapi sebaliknya kontinjen tersebut dihantar ke Malaya untuk membantu memerangi pemberontakan bersenjata komunis dan dinamakan Malayan Scouts. Pasukan ini berkhidmat antara taun 1951 hingga 1953 dan dinamakan C Squadron Malayan Scouts. Ia dinamakan C Squadron kerana di dalam pasukan SAS British telah terdapat A Squadron dan B Squadron. Bagaimanapun, C Squadron Malayan Scouts telah dibubarkan setelah kembali ke Rhodesia, tetapi menjadi nukleus kepada pasukan Rhodesian SAS yang mula beroperasi pada tahun 1961.

Lt Col Ron Reid - Daly
Setelah kembali ke Rhodesia, Ron Reid Daly menjadi jurulatih di sekolah infantri, kemudian pada tahun 1961, beliau telah menjadi RSM (Regimental Sergeant Major) yang pertama kepada pasukan Rhodesian Light Infantry yang ditubuhkan pada tahun 1961. Ron ditauliahkan sebagai Captain pada tahun 1964 dan bersara pada tahun 1971. Sahabat lamanya yang sama - sama pernah bertugas di Malaya, General Peter Walls (kini komander tentera darat Rhodesia) telah meminta Ron menyambung tempoh perkhidmatan dan membantunya membentuk satu pasukan elit untuk membendung ancaman gerila komunis dan nasionalis yang semakin meningkat di Rhodesia. Berdasarkan pengalamannya di Malaya, Ron telah membentuk satu pasukan tempur dan penjejak yang dinamakan Selous Scouts - berdasarkan lagenda pemburu dan penjejak Afrika yang terkenal, Frederick Courteney Selous. Gen. Walls dan Ron menggunakan konsep yang sama di Malaya dimana anggota pasukan ini akan bergerak dan menyamar sebagai anggota pasukan gerila dan menyusup masuk ke dalam kawasan musuh. Bekas anggota gerila yang telah menyerah kepada pasukan keselamatan telah direkrut, selain anggota tentera Rhodesia (kulit putih dan Afrika) yang terpaksa menjalani pemilihan dan tapisan yang ketat.

Uniform Selous Scouts
Ron yang lebih dikenali sebagai "Uncle Ron" mengetuai pasukan ini dengan pangkat Lt. Colonel. Disebabkan tahap kerahsiaan yang tinggi, layanan istimewa, pemakaian yang lebih kasual (bukan uniform standard seperti tentera biasa) dan melaksanakan tugas dengan cara gerila, serta kejayaan - kejayaan yang dicapai, pasukan Selous Scout ini dicemburui oleh pasukan keselamatan lainnya. Pasukan elit ini dikatakan bertanggungjawab ke atas kejayaan menyumbangkan 68 % dari jumlah keseluruhan gerila yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Rhodesia dengan hanya kehilangan 40 anggotanya sahaja, sepanjang konflik tersebut (1971 hingga 1979).

Selous Scouts menggunakan taktik "asymmetric warfare" terhadap musuh mereka seperti melakukan penculikan, serang hendap, sabotaj landasan keretapi dan jambatan, pembunuhan tokoh - tokoh penting, memeras ugut, penggunaan bom kereta dan juga risikan. Apabila Selous Scouts dapat menawan gerila hidup - hidup, mereka mempunyai 3 pilihan - pertama, menghapuskan mereka serta merta, kedua - menyerahkan kepada pasukan keselamatan lain untuk diambil tindakan mengikut perundangan, biasanya membawa kepada hukuman gantung sampai mati dan ketiga - menyerapkan mereka masuk ke dalam pasukan Selous Scouts. Jika musuh didapati tercedera, ia akan dibawa ke pengkalan Selous Scout dan dirawat sehabis baik (tanpa pengetahuan pasukan gerila mahupun pasukan keselamatan lain). Dengan cara ini, baisanya gerila yang tercedera itu akan terasa terhutang budi dan lebih mudah untuk mereka berpaling tadah. Dia seterusnya dihantar untuk rawatan lanjutan di hospital, dan akan dilawati oleh Selous Scouts. Fasa seterusnya pemeriksaan akan dibuat bagi memastikan kesetiaannya, jika lulus ia akan diberikan wang secara lump sum dan ahli keluarganaya diberikan perlindungan. Ujian terakhir untuk menguji kesetiaan adalah dengan memberikannya senjata, tentunya dengan peluru yang telah tidak berfungsi dengan baik.


Pemilihan untuk menyertai Selous Scouts lebih mencabar dari pemilihan SAS Rhodesia, sebagai contoh, dalam satu ambilan 126 calon - hanya 12 sahaja berjaya melepasi latian. Selous Scouts mencari calon yang boleh bekerjasama dalam satu pasukan dan dia juga mesti berupaya berfikir dan bertindak berseorangan. Kursus mengambil masa selama 17 hari dimana hampir separuh akan gagal pada dua hari pertama latihan. Pelatih - pelatih  tidak diberikan makanan dan mereka bergantung kepada ikhtiar hidup untuk mendapatkan makanan. Latian terakhir adalah menamatkan perjalanan 100 km dengan membawa bebanan seberat 30 kg yang berupa batu di cat merah untuk menhalang peserta melakukan penipuan. Bagi yang berjaya, fasa terakhir adalah latihan di kem yang dibina mirip seperti kem gerila. Mereka belajar bertutur seperti gerila, dan mengamalkan kehidupan seperti seorang gerila.




Pada tahun 1979, Selous Scouts dituduh terlibat dalam pemburuan haram gading gajah di lembah Zambesi. Ini menimbulkan ketegangan antara Lt. Col Ron dan Lt. Gen Jon Hackman, komander tentera Rhodesia ketika itu. Pertengkaran di mes pegawai berlanjutan hingga Ron di bawa ke mahkamah tentera. Kerana dia dihormati dan mendapat simpati ramai anggota tentera, Ron dikenakan hukuman paling minima. Tidak berpuas hati atas apa yang berlaku, beliau meletakkan jawatannya dan membawa kes ke mahkamah awam. Bagaimanapun usahanya menemui kegagalan dan Ron berhijrah ke Afrika Selatan.

Beliau meninggal dunia pada usia 81 tahun.